Mengapa Erling Braut Haaland Dikategorikan Sebagai Seorang ‘Complete Forward’?

Erling Braut Haaland bolehlah dianggap sebagai seorang penyerang lengkap, atau pun complete striker.

Pemain Norway meneruskan prestasi cemerlang selepas i menyertai Borussia Dortmund pada jendela perpindahan Januari ini selepas menolak tawaran untuk menyertai Juventus dan Manchester United.

Tampil sebagai pemain gantian menentang Augsburg pada debut bersama Dortmund dan menghasilkan hatrik, anak kepada bekas pemain Leeds United, Alf Inge terus menyerlah dengan dua lagi gol pada minggu berikutnya.

Dalam perlawanan menentang FC Koln, Haaland menjaringkan dua lagi gol.

Tetapi gol kedua beliau menarik perhatian kami. Ia menampilkan kebijaksanaan Haaland sebagai penyerang tunggal dalam pasukan Dortmund.

Sistem permainan Borussia Dortmund

Sebelum kita pergi lebih jauh dengan artikel ini, kita harus tahu Dortmund di bawah kendalian Lucien Fevre beraksi dengan sistem 3-4-3.

Jadon Sancho, Marco Reus dan Mario Gotze adalah pemain yang sering kali beraksi di sekeliling penyerang utama, selain daripada Thorgan Hazard.

Thomas Delaney atau Axel Witsel adalah pemain yang sering diturunkan di posisi pertahanan tengah oleh Fevre.

Permainan kemudian bertukar dari transisi bertahan kepada serangan dengan pantas – mengambil kira jenis pemain yang mempunyai kelajuan di dalam pasukan Dortmund.

Di dalam sistem ini, Haaland adalah No.9 dari sudut taktikal.

Bagaimana Haaland melakukan larian?

Di dalam bola sepak, larian yang dilakukan oleh Haaland sebelum menghasilkan gol ini dipanggil attacking runs ataupun offensive runs.

Kawalan pemain ataupun marking adalah aspek yang semakin kompleks di dalam bola sepak. Untuk melepasi kawalan ini, seseorang penyerang tidak hanya sekadar menunggu bola selaku target man semata-mata.

Salah satu cara yang berkesan adalah melakukan larian ‘tanpa bola’ (off the ball) yang berkesan, dan Haaland melakukannya dengan baik sekali.

Penyerang yang bijak akan berupaya berlari ke satu kawasan (menyerang ruangan) ketika tanpa bola. Akhirnya mereka akan menemui titik yang tepat untuk ‘menemui’ ataupun menerima bola.

Kadang kala, mereka akan menggunakan larian ringan (low pace) seperti jogging  dan walking pace untuk mengalihkan perhatian pemain pertahanan lawan.

Kaedah ini membantu mereka mewujudkan ruang dan peluang kepada rakan sepasukan.

Perhatikan jaringan Haaland vs FC Koln

Saksikan jaringan yang dihasilkan oleh Haaland ketika perlawanan menentang FC Koln.

Melalui video ini kita dapat melihat bagaimana sistem permainan Dortmund dipraktikan dalam perlawanan secara terus dari segi transisi.

Ia juga menampilkan kualiti yang dimiliki oleh Haaland untuk mengadaptasi dirinya dengan corak permainan yang diterapkan oleh Fevre.

Ketika Dortmund memenangi bola dan sedang menukar transisi kepada serangan, Haaland menggunakan orientasi tubuh badan untuk mengelirukan pertahanan lawan.

Pada fasa ini, Haaland dilihat oleh lawan sebagai bukan ancaman. Perhatikan juga bagaimana beliau mengawal rentak larian. Haaland tidak perlu terus memecut ke hadapan.

blank

Pada ketika ini , scanning rapi turut kerap dilakukan oleh Haaland untuk memastikan beliau mempunyai ruang yang cukup untuk bertindak balas pada masa yang sesuai.

Pada ketika dan masa yang sesuai, Haaland kemudiannya menyerang ruang di hadapan yang sebenarnya telah beliau cipta sendiri secara tidak langsung.

Hasilnya, ia adalah gol yang cantik – walaupun sedikit elemen nasib turut ada kerana jaringan dari sudut yang sukar.

Rumusan

Sebagai penyerang tunggal, anda bukan sahaja perlu menjadi pemain yang klinikal di hadapan gol. Atau dalam erti kata lain, tugas anda bukan sekadar menunggu peluang terhidang di dalam kawasan penalti lawan.

Seorang penyerang yang lengkap turut harus tahu bermain secara lebih berpasukan, termasuk berfungsi sebagai barisan pertahanan pertama, bijak mencipta ruang untuk diri dan rakan sepasukan yang lain.

Kerana itulah Haaland boleh digelar sebagai seorang complete forward. Beliau tidak rigid berada di satu-satu zon padang, walaupun pada masa ini jelas sekali Haaland harus menambahkan jumlah assist beliau.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.