Media Antarabangsa 433 Imbau Kembali Gol ‘Tiki-Taka’ Berpasukan Penang FA

Media antarabangsa 433 baru-baru ini berkongsi gol menarik yang dijaringkan oleh Endric Santos untuk Pulau Pinang dalam perlawanan menentang Sarawak United di saingan Liga Premier pada Mac.

Ini bukan kali pertama 433 berbuat demikian, kerana turut pernah menyiarkan gol tersebut pada April lalu.

Gol Penang FA tarik minat 433

Ia dikongsikan di rangkaian media sosial 433 meliputi Twitter, Instagram dan juga Facebook. Akaun Instagram syarikat itu sahaja memiliki 27.1 juta pengikut dari seluruh dunia.

Dalam perlawanan pertama Liga Premier pada musim ini, Pulau Pinang melayan kunjungan pasukan serba baharu, Sarawak United.

Ia nyata debut mengecewakan buat kelab di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu apabila dibelasah oleh skuad kendalian Manzoor Azwira dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Dalam perlawanan tersebut, Pulau Pinang mendahului seawal minit ke-7 melalui penyerang import, Casagrancde sebelum Amer Azahar menggandakan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-35 perlawanan.

Casagrande kemudiannya menambah satu lagi jaringan pada minit ke-40 untuk Pulau Pinang memiliki pendahulan selesa 3-0.

Tidak berdiam diri, Sarawak United cuba bangkit di babak kedua apabila menjaringkan satu gol melalui Milad Zanidpour pada minit ke-43.

Tamat saingan babak pertama, Pulau Pinang selesa mendahului pasukan dari Borneo itu denga jaringan 3-1.

Perlawanan terus rancak selepas bersambung pada babak kedua. Minit ke-53, giliran Endrick Dos Santos menjadikan kedudukan 4-2.

Gol keempat Pulau Pinang itu dianggap istimewa kerana ia dihasilkan melalui gerakan cantik secara berpasukan melibatkan empat pemain.

Malah ada di kalangan penyokong menganggapnya seperti corak permainan ‘tiki taka’ yang pernah diperkenalkan Barcelona satu ketika dahulu.

Sarawak United merapatkan jurang melalui Patri Ronaldinho, namun Pulau Pinang memastikan kelebihan terus menjadi milik mereka sehingga ke wisel penamat.

Selepas empat perlawanan sehingga liga ditangguhkan akibat penularan COVID-19, Pulau Pinang menduduki tangga ketiga Liga Premier hasil dua kemenangan, dan dua keputusan seri.

Musim gemilang Penang FA

Hujan renyai-renyai mengiringi majlis penyampaian trofi Piala Liga Premier 2020 kepada Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 9 Oktober lalu.

Majlis tersebut dimulai dengan penyampaian pingat kepada pemain dan pegawai sebelum penyampaian trofi yang diserahkan oleh Exco Belia dan Sukan negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee kepada ketua jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid.

Turut hadir semestinya orang kuat Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang yang juga Timbalan Speaker negeri, Dr Amar Pritpal Abdullah yang menjadi tunjang kepada  kebangkitan pasukan Pulau Pinang sejak dua musim lalu.

Kejayaan Pulau Pinang yang tidak tewas dalam 10 perlawanan terakhir dan menang kesemua 8 perlawanan terakhir mereka – gagal diteruskan. Mungkin kerana para pemain sudah berada dalam mood honey moon. Ye la, sudah juara kan.

Jaringan tunggal penyerang import dari Ghana Jordan Mintah pada minit ke-87 sudah cukup bagi Terengganu FC II untuk memberikan kekalahan pertama kepada Pulau Pinang pada aksi terakhir liga malam tadi.

Saksikan detik di mana Pulau Pinang menjulang Piala Liga Premier musim ini:

https://www.facebook.com/FAPenangOfficial/videos/1442009666005447/

Kejayaan Pulau Pinang ini pastinya disambut gembira oleh peminat mereka yang sebelum ini pernah hampa apabila dinafikan hak bermain di Liga Super kerana isu dokumentasi.

Pada musim lalu Pulau Pinang berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga berkongsi 30 mata dengan PDRM di tangga keempat, berdasarkan kelebihan perbezaan gol.

Namun mengikut arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa mengumumkan bahawa pasukan Pulau Pinang secara serta merta dipotong enam mata dalam saingan Liga Premier 2019 menjadikan jumlah mata muktamad mereka adalah 24 mata.

Akibatnya Penang FA jatuh ke tangga ketujuh Liga Premier.

Hukuman daripada FIFA dikeluarkan selepas Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pemain pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo yang beraksi bersama pasukan Pulau Pinang selama tiga musim dari 2015 hingga 2017.

Pada 25 Mac 2019, FIFA telah menghantar keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mengarahkan supaya FAP membayar kepada Reinaldo sebanyak USD90,000 bersama faedah sebanyak 5%. FIFA juga telah mengenakan denda tambahan sebanyak USD10,000 kerana kegagalan FAP membuat bayaran seperti yang telah diarahkan oleh NDRC FIFA.

Kegagalan FAP membuat pembayaran tersebut dalam masa 30 hari menyebabkan pemotongan mata di dalam liga sebanyak 6 mata.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.