McGregor Mahu ‘Repeat’ Dengan Khabib Nurmagomedov

Conor McGregor tidak hadir dalam aksi UFC 242 yang menyaksikan acara utama adalah pertarungan Khabib Nurmagomedov vs Dustin Poirier.

Khabib berjaya menewaskan Poirier dengan submisson. Sebaik sahaja tamat pertarungan itu, Conor McGregor terus membunyikan semboyan cabaran mahu pertarungan ulangan dengan Khabib Nurmagomedov.

McGregor dalam tweet ringkas beliau menyatakan:

“Sila aturkan perlawanan ulangan di Moscow.”

Dana White sudah memberikan pandangan beliau tentang perlawanan ulangan McGregor-Nurmagomedov. Dan beliau berkata sentiasa terbuka untuk mempertimbangkannya.

Dana sekali lagi menegaskan beliau masih membuka pintu kepada pertarungan yang pernah menjadi pertarungan paling tinggi kutipan PPV untuk UFC.

“Giliran Tony Ferguson selepas ini, itu yang jelas. Jika Tony tidak dapat bertarung dalam pertarungan itu nanti, atas sebab-sebab yang tertentu, baru kita akan mencari pengganti.”

“Dalam kes ini, barulah ada peluang lebih baik untuk menyaksikan Conor McGregor masuk berhadapan Khabib Nurmagomedov.”

“Conor McGregor memang nak sangat bertarung perlawanan ini sekali lagi. Dan saya yakin, para peminat pun mahu menyaksikannya. Jadi, kita tunggu dan lihat bagaimana semua ini akan berkesudahan.”

White mengulangi, Tony Ferguson akan menjadi petarung seterusnya yang akan mencabar Nurmagomedov.

Dana turut yakin McGregor akan cuba sedaya upaya untuk merealisasikan perlawanan ulangan dengan Khabib.

Sebelum ini, McGregor telah diminta untuk kembali ke octagon oleh Dana White. Namun beliau tidak berbuat demikian. McGregor lebih sibuk dengan aktiviti lain termasuk promosi wain beliau.

Pada bulan lalu, Khabib Nurmagomedov mengutuk McGregor yang menumbuk warga emas di sebuah pub.

Khabib menyifatkan ia satu perkara yang gila daripada McGregor dan mencalarkan imej atlet MMA yang lain.

Khabib meminta pihak berkuasa menangkap dan mempenjarakan McGregor.

Selepas tamat pertarungan dengan Poirier, Khabib turut menyifatkan McGregor sebagai kaki ‘trash talk’ yang membuatkan sukan MMA jadi hilang semangat saling menghormati.

Khabib juga menjelaskan, beliau pernah bertindak melampaui batas kerana termakan provokasi McGregor.

Sebelum ini McGregor sudah menyatakan beliau hampir kembali ke Octagon pada tahun ini, 2019. Jadi, mungkin beliau sudah benar-benar bersedia.

Paling menarik, perlawanan UFC melibatkan Khabib dan Ferguson itu akan berlangsung di Rusia, negara kelahiran Khabib.

Mungkinkah ada perkara drastik yang berlaku, dan akhirnya McGregor akan berhadapan dengan Khabib Nurmagomedov di Moscow.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.