Conor McGregor telah didakwa di mahkamah kerana kes menumbuk warga emas di sebuah pub di Dublin, pada April lalu.
Telah tular satu video di mana McGregor menumbuk seorang lelaki hanya kerana lelaki tersebut menolak pelawaannya untuk mencuba wiski Proper No.12 Irish Whiskey. Ianya adalah wiski jenama keluaran McGregor.
Lelaki tua itu awalnya menolak dengan elok. Namun McGregor terus mendesaknya untuk mencuba. Lalu warga emas itu bengang dengan McGregor yang seolah-olah memaksanya.
Lelaki warga emas itu memberikan respon: “Saya tidak akan sesekali minum air sampah ini. Dan saya tidak akan minum sebarang air yang kamu berikan.”
McGregor yang marah dengan respon tersebut telah menumbuk lelaki tua itu. Beberapa orang rakannya menenangkan McGregor.
Conor McGregor slaps pintman Paddy Losty in Dublin bar… pic.twitter.com/KyUkq3joIv
— NostrilShorts (@NostrilShorts) August 16, 2019
Video tersebut sampai ke tangan TMZ dan disiarkan kepada umum.
Tindakan itu mengundang banyak kecaman. Khabib Nurmagomedov antara yang malu dengan apa yang berlaku.
Menurut Khabib, seorang petarung MMA sejati tidak sepatutnya menyalah guna kekuatan yang mereka ada untuk menyerang orang lain.
Khabib menganggap tindakan McGregor sebagai hilang akal.
Selepas insiden itu, McGregor menerusi ESPN telah meminta maaf di atas apa yang berlaku.
Beliau menyatakan, kesalahannya itu nyata dan tidak ada alasan untuk beliau cuba mempertahankan dirinya.
McGregor perlu hadir ke mahkamah di Dublin pada 11 Oktober ini untuk mendengar pertuduhan ke atas beliau.
Jika didapati bersalah, McGregor bakal berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 6 bulan, denda €1,500 atau kedua-duanya sekali.
Di lapangan MMA, McGregor sudah lebih setahun tidak beraksi di dalam octagon. Beliau sudah mengumumkan kepulangannya ke octagon. Namun masih belum ada pertarungan UFC untuk beliau setakat ini.
McGregor sebelum ini mencabar Khabib Nurmagomedov untuk pertarungan ulangan. Namun perkara itu nampak sukar untuk diatur kerana beberapa petarung UFC lain lebih berhak untuk mencabar kejuaraan yang ada pada Khabib.