Mayweather vs McGregor

Superstar tinju, The Undefeated Floyd ‘Money’ Mayweather akan menentang ikon UFC, The Notorious Conor McGregor dalam satu perlawanan tinju yang dijadualkan pada bulan Ogos ini. Pertarungan ini disifatkan sebagai Fight of The Century yang kedua selepas pertemuan Mayweather dan Pacquiao pada tahun 2015 lalu.

Kedua-dua mereka pernah mengejutkan dunia dengan mengumumkan persaraan, tetapi bagaimana mereka boleh kembali?

Setiap orang akan mempunyai alasan yang tersendiri tentang perjuangan mereka, tidak terkecuali bagi Mayweather dan McGregor. Mayweather menganggap wang yang besar akan merubah pendiriannya.

Buktinya beliau pernah bersara pada tahun 2007 tetapi pulang beraksi semula tidak sampai setahun kemudian kerana ganjaran besar yang diperolehi. Bagi McGregor pula, beliau hanya mahu menjadi yang terkuat dan terhebat.

Duit vs Keghairahan | Foto : Independent

Justeru beliau harus mengalahkan serta memecahkan rekod tanpa kalah 49-0 yang dimiliki Mayweather dalam arena tinju. Tetapi apa pun alasannya, wang merupakan satu motivasi yang terbesar buat keduanya kerana pertarungan yang bakal berlaku ini melibatkan sejumlah wang yang sangat sangat sangat besar!

Dianggarkan kedua mereka dijangka memperolehi sejumlah $100 juta dollar melalui perlawanan itu. Mayweather pula dijangka menerima habuan yang lebih besar memandangkan reputasi beliau sebagai peninju professional serta rekod yang tak pernah terkalahkan.

Kedua-dua mereka terkenal dengan gaya dan identiti tersendiri, mereka adalah pejuang yang telah berjaya mencapai segalanya di dalam bidang masing-masing, tetapi peluang untuk merebut habuan yang besar ini terlalu bagus untuk diabaikan begitu sahaja.

Mayweather menyatakan dia sedia untuk keluar dari persaraan untuk bertarung dengan McGregor di dalam perlawanan tinju. Selepas berbulan negosiasi berlaku, pertarungan itu bakal menjadi kenyataan setelah kedua-dua pihak menandatangani kontrak.

Ia dijadualkan akan mengambil tempat di Las Vegas. Mayweather, pemegang lima tali pinggang kejuaraan dunia, manakala McGregor pula adalah seorang fighter MMA yang menjuarai dua divisyen berlainan di dalam UFC.

Tidak keterlaluan jika dikatakan keduanya adalah pencabar dalam kategori Heavyweight. Penganalisis menyatakan ia bakal menjadi satu pertarungan yang terbesar dalam sejarah sukan tempur.

Tiada siapa dapat menafikan McGregor adalah seorang fighter yang bagus, tetapi dalam hal ini, beliau akan masuk ke dalam gelanggang Mayweather. Seorang peninju terhebat dengan rekod yang mengagumkan.

Tiada tendangan, tiada siku, tiada grip dibenarkan.

Adakah McGregor mampu untuk mengatasi Mayweather setelah segala yang dimiliki sebelum ini (tendangan, siku, grip) terpaksa dibisukan? Adakah anda rasa Mayweather mudah untuk dikalahkan oleh McGregor?

Shannon Sharpe, bekas pemain American Football menyatakan;

“Dalam tinju, adalah sangat tidak patut untuk mengatakan yang McGregor boleh mengalahkan Mayweather.”

Satu benda yang anda perlu hormat dengan McGregor ialah cara beliau menghadapi pertarungan. Beliau akan bernada angkuh dan memperkecilkan lawannya sebelum perlawanan, dan ketika pertarungan, atas desakan sikap angkuh yang dipertontonkan sebelum ini, beliau benar-benar menunjukkan keinginan untuk menang.

Benar, beliau bercakap besar, tapi beliau lakukan seiring dengan percakapannya. Walk the talk.

“Beliau adalah seorang lelaki yang berani membuat khalayak untuk benci dan suka padanya dalam masa yang sama. Atas perkara itu, tiket perlawanan laku keras. Beliau adalah aset kepada UFC.” –Brian Stann, Penganalisis di Fox Sport.

Tinju adalah sejenis seni pertarungan, dan Mayweather telah mempraktikkannya pada seluruh kariernya. Bukan untuk memperkecilkan McGregor, tetapi rasanya beliau tiada apa yang baru untuk dibawa sebagai bekalan bertemu Mayweather, kerana segalanya sudah dikuasai oleh The Pretty Boy.

Peninju Paling Defensif | Foto : AP

Ramai beranggapan McGregor tidak akan mampu untuk membuat satu shot pun kepada Mayweather. Skill tumbukan beliau hanya biasa-biasa sahaja dalam sukan tinju, sementara beliau pula sedang berhadapan dengan lawan yang paling defensif dalam sejarah tinju.

Mayweather hanya pernah tumbang sekali sahaja dalam 49 pertarungan beliau. Itu pun beliau berjaya bangkit dan memenangi perlawanan.

Beliau telah menghadapi dan mengelak beribu jenis tumbukan daripada peninju-peninju terbaik dalam eranya, jadi tidak ada masalah untuk beliau menghadapinya lagi daripada lawan yang baru bertukar transisi gaya pertarungan daripada MMA ke tinju.

Bagaimanapun, untuk memandang rendah kepada McGregor adalah sangat bahaya. Beliau muda, tajam, berdarah panas dan sentiasa berlatih sementara Mayweather sedang bercuti di tepi pantai. Terdapat kemungkinan yang McGregor mampu untuk mengalahkan Mayweather, untuk menyamakan beliau dengan fighter UFC yang lain adalah salah sama sekali.

Foto : Corbis

Mayweather memandang rendah cabaran dari McGregor, beliau tidak kuat berlatih, beliau memperkecilkan kemampuan McGregor untuk menumbangkannya. Manakala McGregor pula sedang giat mempelajari apa yang perlu untuk dibawa ke dalam gelanggang. Bagi Mayweather, pengalaman beliau adalah segalanya, sementara McGregor masih sangat hijau.

Lihat kembali kepada sejarah karier Mayweather. Beliau adalah seorang ikon, sukar untuk mana-mana peninju yang baru naik untuk berlawan dengan beliau. Gaya pertarungannya adalah selamat. Mayweather telah mengalahkan Pacquiao dalam pertarungan yang paling tidak jantan dalam sejarah.

Beliau kerapkali mengelak dan lari dari pertembungan. Tahu-tahu beliau diumumkan sebagai pemenang melalui pungutan mata yang telah dipersetujui oleh juri secara sebulat suara. Beliau tahu bagaimana cara untuk mengawal tekanan.

Foto : The Sun

McGregor pula ialah sebuah bom jangka. Lihat semula top five kemenangan knockout beliau, adakah anda rasa beliau tidak mampu untuk mengawal lelaki tua berusia 40 an di dalam gelanggang tinju?

Ini adalah permainan untuk orang muda. Mayweather mungkin berharap dia akan kekal bersara apabila bertemu McGregor di gelanggang nanti.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Sharell Eizwan untuk diterbitkan di Sukan.my

Sekiranya anda mempunyai artikel untuk dikongsikan. Hantar di sini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.