Rumah siap pahat masih berbunyi. Itu sudah lumrah, terutama sekali melibatkan perkara-perkara yang besar. Beberapa bulan lalu, dunia menyaksikan pertarungan tinju mewah di antara Conor McGregor dan Floyd Mayweather.
Legenda tinju Floyd Mayweather menang dalam pertarungan tersebut dan mengumumkan persaraan dengan rekod kemenangan 100%. Beliau memberitahu yang beliau boleh menamatkan McGregor lebih awal dan membelasah jaguh UFC tersebut.
Tetapi Mayweather terpaksa ‘melayan’ McGregor di atas ring untuk menampakkan pertarungan itu kelihatan sengit. Mayweather juga memberitahu, tindakan beliau telah membuatkan McGregor kelihatan seorang yang bagus dalam tinju.
McGregor berjaya melancarkan tumbukan lebih banyak daripada Manny Pacquiao ke atas Floyd Mayweather. Semuanya berlaku kerana Mayweather yang sengaja melayan McGregor ujar petinju rekod sempurna tersebut.
Mayweather menewaskan McGregor pada pusingan ke-10. Dan beliau memuat naik satu video pengakuan yang pastinya mengguris hati Conor McGregor di snapchat:
“Saya nak beritahu anda semua perkara yang benar. Anda semua tahu tak yang saya melayan McGregor untuk menampakkan pertarungan itu menarik di mata anda semua.”
Sebelum ini juga, Conor McGregor menyatakan yang beliau akan menewaskan Mayweather jika ada pertarungan ulangan. Ini kerana sebelum ini adalah pengalaman pertama beliau di gelanggang tinju, itupun beliau mampu bertahan sehingga ke pusingan ke-10.
Mayweather berang dengan kenyataan itu dan menganggap McGregor suka merengek selepas kalah. Floyd Mayweather berkata:
“Benda macam ini membuatkan saya nak gila, saya kan sudah bersara. Jika saya bertarung satu lagi pertarungan, saya tetap akan tetap menang. Buang masa untuk saya kembali daripada persaraan untuk perkara seperti itu.”
Conor McGregor masih belum terlibat dalam sebarang pertarungan lagi sejak daripada pertarungan tersebut. Beberapa hari lalu, Manny Pacquiao sudah menghantar pelawaan kepada McGregor jika beliau mahukan perlawanan tinju sebenar.
Namun kem McGregor masih belum memberikan apa-apa respon ke atas cabaran tersebut.