Max Biaggi, Kisah Legenda No.3 Yang Sangat Kompetitif Dalam Arena Permotoran

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Max Biaggi tidak terfikir langsung untuk menjadi pelumba jentera 2 roda ketika usia muda. Beliau lebih mengejar cita-cita mahu menjadi pemain bola sepak.

Namun minat ke atas motosikal berkuasa besar itu semulajadi datang menusuk kalbu beliau. Segalanya bermula apabila rakannya membawa beliau ke litar Vallelunga.

Beliau tiba-tiba jatuh cinta dengan jentera berkuasa tinggi itu. Lahir di Rome pada 26 Jun 1971. Max Biaggi ataupun nama sebenarnya Massimiliano Biaggi telah menemui hobi baru beliau.

Biaggi kemudiannya serius untuk terlibat dalam perlumbaan motosikal. Beliau menyertai pertandingan motosikal pertama pada 1989 di Rome. Beliau hanyalah watak tidak penting ketika itu.

Foto – Wheels Thing

Namun ramai tertarik kepada bakat ‘rookie’ ini. Beliau menarik perhatian beberapa pasukan dan dianggap prospek cerah. Ayahnya, Pietro adalah orang yang sangat menyokong apa jua yang mahu dilakukan Max.

Dari kecil ayahnya mahukan Max mengejar apa sahaja mimpinya. Ibunya hilang entah ke mana. Setelah mendapatkan hak berpisah sementara (separated), ibunya tidak pernah pulang ke rumah.

Selepas Max berjaya, ada media melaporkan ibunya keluar untuk memberitahu dirinya adalah ibu kepada Max Biaggi.

DERUMAN 250 CC

Selepas cemerlang melakar kejayaan di kejohanan sekitar Rom. Max akhirnya menyertai kategori 250cc pada 1991. Selepas 2 tahun menggunakan Aprilia RSV250, beliau menggunakan Honda NSR250 pada 1993.

Kemuncak karier beliau dalam kategori ini apabila beliau memenangi kategori tersebut selama 4 tahun berturut-turut daripada 1994-1997.

Pada 1994, beliau menganggap ia sebagai salah satu detik terbaik di dalam karier beliau. Selepas sebelum itu beliau meninggalkan Aprilia menyertai Honda. Pada tahun tersebut Mad Max kembali semula dengan Aprilia.

Foto – Pinterest

Beliau menguasai 3 musim perlumbaan dengan Aprilia yang juga motosikal kebanggan Itali. Pesaing utama beliau ketika itu adalah Tadayuki Okada dan Tetsuya Harada yang masing-masing menunggang Honda dan Yamaha.

Pada 1996, persaingan Biaggi dan Ralf Wadman (Honda) sangat sengit. Penentuan juara ditentukan di hari terakhir perlumbaan di Eastern Creek, Australia. Max Menang!

Seteru Lama – Biaggi dan Wadman (Foto – Speedweek)

Selepas 3 kejuaraan dengan Aprilia, beliau kembali semula ke Honda pada 1997. Beliau menganggap ia antara musim paling sukar di dalam kariernya dan Max menang sekali lagi.

Beliau mencetuskan fenomena di Itali dan ramai peminat sukan pemotoran di Itali mahukan Max menyertai kategori lebih besar.

Beliau mulai disorak dengan pelbagai gelaran termasuk Mad Max kerana keberaniannya di dalam litar. Selain itu media Itali juga menggelar beliau sebagai Roman Emperor / Maharaja Rom.

KE 500 CC

Max akhirnya menyertai acara 500 cc pada 1998. Beliau kekal menggunakan jentera Honda NSR500. Pada musim pertama di dalam persaingan 500 cc, Biaggi mengejutkan dunia dengan menjuarai perlumbaan pembukaan musim 1998 di Suzuka, Jepun.

Biaggi kemudian cemerlang menamatkan perlumbaan musim pertama beliau di tangga ke-2 di belakang legenda Mikc Doohan.

Foto – Pinterest

Pada 1999, Biaggi memutuskan untuk menggunakan jentera Yamaha. Beliau menamatkan saingan di tangga ke-4 pada musim 1999. Yamaha dan Biaggi memberikan persaingan yang signifikan kepada Doohan dan Honda.

Pada musim 2000 dan 2001, Biaggi menamatkan saingan masing-masing di tempat ketiga dan kedua. Doohan terlalu unggul untuk disaingi. Itulah era terakhir kategori 500 cc dan kemudiannya kategori tertinggi digelar MotoGP.

ERA Moto GP

Musim pertama era MotoGP pada 2002, Biaggi menang 2 perlumbaan di Brno dan Sepang. Biaggi ada kenangan yang indah di Sepang. Ia antara litar kegemaran beliau.

Foto – Derapate

Sepanjang karier Biaggi beliau berkongsi tempat ke-2 terbanyak bersama Doohan untuk menang 5 perlumbaan di Sepang. Hanya Valentino Rossi melakukannya lebih banyak daripada mereka dengan 7 kemenangan.

Biaggi sekali lagi menamatkan saingan di tangga ke-2 untuk musim 2002. Peningkatan mendadak bakat baru yang juga dari Itali, Valentino Rossi menjuarai musim tersebut. Biaggi dan Rossi telah mewujudkan perseteruan moden di dalam MotoGP.

Foto – MotoGP

Pada 2003, Biaggi kembali semula menggunakan Honda dengan jentera Honda RC211V. Beliau masih dikira cemerlang.

Namun Biaggi terpaksa akur untuk menamatkan saingan di tangga ketiga di belakang Juara – Valentino Rossi dan Naib Juara – Sete Gibernau.

Musim 2004 dan 2005, beliau mengakhiri perlumbaan di tangga ke-3 dan ke-5. Pada 2007, selepas meninggalkan MotoGP, Biaggi menyertai Superbike. Berikut adalah rumusan karier beliau di Superbike:

Beliau menjadi pelumba Itali pertama menjuarai Superbike World Championship pada 2010. Pada 2012 beliau juara lagi dalam Superbike dan beliau mengumumkan persaraan daripada sukan pemotoran.

Namun pada 2015 beliau membuat kemunculan semula dalam SBK.

Pada Jun 2017, dunia dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa salah seorang pelumba yang paling berpengaruh di dunia ini.

Biaggi mengalami beberapa kecederaan serius impak daripada kemalangan tersebut. Bahunya patah dan dikejarkan ke Hospital dengan helikopter.

Foto – Daily Mail

Beliau ketika itu sedang berlatih dengan 2 pelumba muda Moto 3. Kemalangan beliau berlaku kurang sebulan selepas rakannya Nicky Hayden meninggal dunia kerana dirempuh kereta. Biaggi berjaya menjalani pembedahan dan dalam keadaan stabil selepas itu.

Foto – Daily Mirror

BIAGGI SENTIASA DI HATI PEMINAT!

Itulah kisah salah seorang pelumba terbaik di era beliau. Malangnya beliau sezaman dengan Mick Doohan dan kemudiannya kebangkitan Valentino Rossi.

Sepanjang karier beliau, Mad Max telah berlumba dalam 181 perlumbaan MotoGP. Beliau telah memenangi petak hadapan sebanyak 55 kali dan 41 kali menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

Itu yang meletakkan beliau sebagai salah seorang pelumba terbaik dalam sejarah MotoGP. Ketika ini, beliau berada di ranking ke-9 pelumba terbaik dalam sejarah MotoGP.

Itupun Max Biaggi sentiasa konsisten memerikan saingan dan menamatkan perlumbaan di kelompok teratas. Beliau menjadi pesaing dalam 2 generasi pelumba ulung yang berbeza iaitu era Doohan dan era Rossi.

Biaggi meninggalkan litar dengan 4 kejuaraan 250 cc dan 3 kali menjadi naib juara 500cc/MotoGP. Itulah yang menjadikan beliau antara pelumba paling kompetitif dalam sejarah MotoGP.

Legenda nombor 3 ini terlalu banyak memberikan memori kepada peminat permotoran yang mahukan saingan sengit kepada nama-nama dominan seperti Mick Doohan dan Valentino Rossi.

Perseteruan Biaggi dengan Doohan kemudiannya Biaggi dengan Rossi antara kisah yang akan diingati semua.

SUMBER

Wikipedia – Max Biaggi

Wikipedia – Malaysia GP

Express UK

Biografia

World SBK


SHARE ()