Mauricio Pochettino Sudah Bersedia Untuk Kembali Menjadi Pengurus Sekiranya Khidmat Beliau Diperlukan

Selepas hampir setahun dipecat oleh Tottenham, Mauricio Pochetino akhirnya mendedahkan bahawa beliau sudah bersedia untuk kembali mengurus mana-mana pasukan.

Jurulatih dari Argentina itu telah dipecat oleh Tottenham selepas hampir lima tahun beliau menabur bakti di sana ekoran dari keputusan yang mengecewakan di permulaan musim lalu.

Selepas beliau dipecat, tempat Mauricio Pochetino telah digantikan oleh bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho sehingga kini.

Pochettino tidak mengurus mana-mana kelab sejak dipecat dan bercakap kepada Sky Sports sebagai tetamu di acara Monday Night Football show, pengurus berusia 48 tahun itu mengakui bahawa beliau sangat merindui kariernya sebagai seorang jurulatih.

“Saya sentiasa bersedia untuk kembali ke dunia bola sepak ini.”

Jelas Pochettino.

“Saya cintakan dunia bola sepak, ianya minat saya, ini kerjaya saya.”

“Saya masih mencari kerja. Saya cintakan permainan. Saya bekerja dan melakukan hal-hal sepatutnya, tetapi ianya tidak sama dengan terlibat dengannya setiap hari dan berkongsi segalanya dengan pemain dan staff. Kamu akan rindukan itu, itulah realitinya.”

“Ianya bukanlah tekanan ketika kamu bekerja. Ianya juga tidak tertekan sama sekali ketika kamu berada di padang latihan, mempersiapkan pasukan dan untuk bersaing.”

Sejak meninggalkan Spurs, Pochettino telah dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi England dan sekitar Eropah.

Pada Julai lalu, beliau dilaporkan telah menolak peluang untuk mengambil alih pengurusan Monaco atas alasannya sendiri.

Beliau juga merupakan calon terhangat yang dikaitkan bakal menggantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Manchester United sekiranya pengurus dari Norway itu dipecat.

Mauricio Pochettino telah dilantik sebagai pengurus Tottenham Hotspur pada Mei 2014 dan telah berjaya membantu skuad kendaliannya itu untuk berada di kelompok empat teratas liga dan mara ke perlawanan akhir saingan liga Juara-juara 2019.

Namun beliau telah dipecat ketika Spurs berada dikedudukan ke-14 dalam saingan liga perdana Inggeris musim lalu.

“Kami sebenarnya sangat tidak mahu mengambil keputusan ini. Ini bukanlah keputusan sepenuhnya dari kepimpinan kelab, bukan juga keputusan terburu-buru.”

Jelas pemilik Spurs, Daniel Levy pada ketika itu.

“Keputusan yang agak teruk diperingkat domestik sejak penghujung musim lalu sehingga ke awal musim ini sungguh mengecewakan.”

“Adalah satu hal yang sangat sukar untuk kami membuat keputusan ini. Tambah sukar lagi terlalu banyak kenangan manis yang telah kami lalui bersama Mauricio dan barisan kejurulatihannya. Tetapi kami perlu lakukan juga untuk kebaikkan kelab di masa hadapan.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.