Martin Braithwaite Intai Jersi No.10, Mahu Jadi Pengganti Messi

Jika benar Lionel Messi bakal meninggalkan Barcelona, ini bermakna jersi No.10 yang dianggap keramat di Nou Camp akan menjadi kosong.

Jersi No.10 Barcelona dianggap ikonik kerana pernah disarung oleh beberapa legenda bola sepak dunia sebelum ini.

Antaranya adalah Laszlo Kubala, Diego Maradona, Hristo Stoichkov, Pep Guardiola, Rivaldo dan Ronaldinho, sebelum ianya menjadi milik Messi.

Ini bermakna pemain yang mahukan jersi No.10 Barcelona harus bukan calang-calang pemain dan tidak keterlaluan setiap dari mereka berakhir dengan gelaran legenda.

Dan menurut 20 minutos, salah seorang pemain sedia ada sudah bersedia mengambil alih peranan Messi jika pemain itu meninggalkan kelab tersebut pada musim panas ini.

Pemain yang dimaksudkan adalah Martin Braithwaite. Pemain antarabangsa Denmark itu sebelum ini memakai jersi No.19 selepas tiba dari Leganes pada Februari lalu.

Barcelona mengikat Braithwaite pada 20 Februari 2020 – atas dasar perpindahan disebabkan kecemasan.

Di Sepanyol, perpindahan di luar jendela sebenar dibenarkan sekiranya kelab mengalami krisis kecederaan pada posisi tertentu, dan perpindahan harus melibatkan sesama kelab Sepanyol sendiri.

Kecederaan jangka masa panjang yang dihadapi oleh Luis Suarez dan Ousmane Dembele pada ketika itu memaksa Barcelona merekrut Braithwaite.

Sebelum La Liga diberhentikan akibat penularan wabak global tempoh hari, Braithwaite sudah beraksi dua kali sebagai pemain gantian, dan tampil sebagai pemain kesebelasan utama dalam perlawanan berikutnya.

Braithwaite masih mempunyai kontrak bersama Barcelona sehingga 2024. Ketika bersama Leganese, pemain itu memakai jersi No.25 sebelum bertukar kepada jersi No.7.

Ketika bersama Middlesbrough, Braithwaite menyarung jersi No.10. Sejak beberapa minggu lalu, Braithwaite sebenarnya turut dikaitkan dengan perpindahan ke England.

Barcelona pasti tidak teragak-agak menjual Braithwaite sekiranya menerima tawaran yang munasabah.

Persoalannya sekarang, sempatkah Braithwaite mendapatkan jersi No.10 itu? Atau Braithwaite akan pergi dahulu mendahului Messi?

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.