Marion Jones antara nama besar dalam sukan olahraga. Beliau memiliki ramai peminat di seluruh dunia. Namun siapa sangka, atlet yang berpengaruh ini rupa-rupanya telah bertahun-tahun menipu peminatnya dengan drama.
Latar Belakang
Marion Jones adalah atlet kelahiran Amerika Syarikat yang berdarah Amerika-Afrika. Pada usianya masih kecil lagi, ibu dan ayahnya bercerai. Ibunya kahwin lagi pada usia Marion Jones baru belasan tahun.
Prestasi dan potensi Jones dalam sukan olahraga meningkat naik ketika berusia 15 tahun. Nama Marion Jones menjadi sensasi untuk kejohanan sekolah tinggi di sekitar California.
Selain daripada jaguh balapan, Jones juga seorang pemain bola keranjang yang baik ketika di sekolah tinggi.
Ketika belajar di University of North Carolina di Chapel Hill, Jones telah menjalinkan hubungan cinta dengan jurulatih acara padang iaitu C.J Hunter .
Jones berjaya memenangi kejohanan dunia dalam acara 100 meter di Athens pada 1997. Dan turut menyertai acara lompat jauh tetapi menamatkan saingan di tangga ke-10.
Hunter meletak jawatan sebagai jurulatih olahraga di universiti tersebut untuk menghormati etika mengelakkan hubungan cinta di antara jurulatih dengan pelajar.
Hunter dan Jones berkahwin pada 1998. Hunter bertekad untuk membantu Jones dalam persiapan ke Sydney 2000.
Marion Jones memberitahu suaminya yang beliau mahu menang emas dalam kesemua acara disertainya dalam Olimpik Sydney. Ada 5 acara kesemuanya.
Namun Hunter dilarang untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan isterinya kerana telah didapati positif barang terlarang dalam beberapa ujian yang dilakukan. Hunter merupakan atlet lontar peluru.
Dalam kejohanan dunia 1999, Jones cuba memenangi kesemua 4 acara yang disertainya. Namun Jones hanya mampu menang emas dalam 100m dan 200m, serta gangsa dalam lompat jauh.
Jones tercedera ketika final 200m dan terpaksa pulang awal. Beliau meneruskan fokus untuk Sukan Olimpik 2000. Beliau juga meneruskan sesi pemulihan.
Sukan Olimpik 2000
Sukan Olimpik Sydney 2000 adalah masa yang ditunggu-tunggu oleh Jones. Dia hadir dengan reputasi yang sangat tinggi. Marion Jones dijadikan perhatian oleh media dan seluruh dunia.
Mario Jones cemerlang dengan 3 emas dari Sydney. Beliau menang 100 meter, 200 meter dan 4 x 400 meter. Jones turut menang 2 gangsa dalam lompat jauh dan 4 x 100 meter. Suaminya turut beraksi dalam acara lontar peluru.
Kejayaan Jones menjadi sensasi. Publisiti diberikan kepada beliau terlalu meluas. Wajahnya yang sentiasa ceria dan mesra media membuatkan beliau digelar darling dalam sukan dunia.
Peminat beliau bertambah dan ramai menjadikan beliau idola. Nama Marion Jones dianggap simbol atlet yang hebat. Beliau diletakkan sebaris dengan Florence Griffth Joyner.

Bergelut Dengan Prestasi
Selepas aksi cemerlang di Sydney, Jones turun dengan status pelari pilihan dalam Kejohanan Dunia 2001. Namun Jones dikejutkan oleh Zhanna Pintusevich-Block (gambar) dari Ukraine.
Zhanna juga antara atlet yang gagal dalam ujian doping selepas itu.
Pintusevich turut menewaskan Jones dalam acara 200 meter dan 4 x 100 meter. Itulah kali pertama Jones tewas dalam masa 6 tahun untuk acara utama beliau.
Prestasi beliau terus merosot. Pada Sukan Olimpik 2004, Jones berkata beliau tidak mampu menggambarkan prestasi beliau dalam temasya tersebut.
Jones menamatkan acara lompat jauh di tangga ke-5. Kuartet 4x100m Amerika Syarikat dibatalkan larian selepas terlepas baton.
Sasaran Emas 2008
Namun aksi hambar beliau pada Olimpik 2004 tidak mematahkan semangat beliau. Lalu pada 2005, Marion Jones umumkan akan bersaing dalam Olimpik 2008 dan cuba mendapatkan emas.
Pada Mei 2006, Jones berlari dengan catatan 11.06 meter dalam keadaan angin agak kuat. Menewaskan Veronica Campbell dan Lauryn Williams.
Pada Julai 2006, beliau kembali ke prestasi terbaik beliau dengan memenangi acara 100 meter di Perancis dengan catatan luar biasa, 10.93 saat. Itu adalah catatan tepantas beliau dalam masa 4 tahun terakhir.
3 hari kemudian, Jones memperbaiki catatan peribadi terbaik beliau dengan 10.91. Namun Jones tewas di tangan Sherone Simpson yang mencatatkan 10.87.

Skandal Dadah Terbongkar
Selepas itu, nama Jones dikaitkan dengan bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi. Bekas suaminya, mengakui menyuntik barang terlarang ketika sukan Olimpik 2000.
Namun Jones berkeras menyatakan dirinya bersih!
Pada September 2006, belia akhirnya mengakui menggunakan steroid ketika Sukan Olimpik Sydney. Laporan selepas itu mendapati Jones sudah mengguanakan bahan terlarang itu sejak 1999 lagi.
Jones memberitahu ketika itu beliau tidak tahu menahu tentang bahan terlarang tersebut. Bekas jurulatih Marion Jones, Trevor Graham telah memberikan beliau dadah dengan memberitahu bahawa ianya nutrisi yang dibenarkan.
Selepas Jones mengetahui akan hal itu, dia memberitahu yang dia dipaksa menutup mulut tentang bahan tersebut. Jones berkata:
“Saya nak meminta maaf kepada anda semua di atas semua yang berlaku. Saya menyesal dan kecewa dalam banyak perkara.”
Jones berhadapan dengan hukuman penjara 6 tahun dan kesemua pingat beliau ditarik balik. Dalam peraturan OIC, mereka masih berhak menarik balik pingat atlet dalam tempoh 8 tahun daripada kejohanan.
IAAF juga menjalankan siasatan, jika Jones sengaja mengambil bahan tersebut, mereka turut akan menarik balik pingat emas kejohanan dunia yang dimenangi Marion Jones.
Penyokong dan peminat beliau marah! Mereka rasa diri mereka ditipu selepas beberapa penafian dilakukan Jones sebelum ini.
Pada 2004, ahli kimia, Victor Conte mengakui yang beliau adalah orang yang bertanggungjawab menyuntik dadah ke dalam badan Jones.
Jones memfailkan saman $25 juta. Namun selepas itu kedua-dua pihak bersetuju kes itu diselesaikan di mahkamah.
Marion Jones kemudian mahu menentang badan anti doping Amerika Syarikat. Dalam buku autobiografinya selepas itu, Jones berkata:
“Saya tidak pernah takut dalam menyuarakan pandangan. Saya menentang penggunaan dadah untuk meningkatkan prestasi. Saya tak pernah mengambilnya dan tidak akan melakukannya.”
Jones menyatakan dadah yang ada dalam dirinya adalah disuntik tanpa pengetahuan beliau.
Namun begitu, selepas seorang lagi atlet Montgomery mengakui bersalah, Jones akhirnya mengakui yang dirinya telah menipu dalam kenyataan beliau dan mengakui bersalah.
Peluang Kedua
Jones kemudian meminta maaf di atas beberapa pembohongan dan penipuan beliau sejak 2003. Selepas itu, Jones aktif mendekatkan diri semula dengan masyarakat untuk meminta maaf selepas apa yang beliau lakukan.
Itulah kisah seorang atlet yang pernah menjadi atlet paling berpengaruh di dunia dan serba boleh. Marion Jones juga merupakan pemain WNBA profesional.
Daripada atlet yang disayangi ramai, Marion Jones berubah kepada salah seorang atlet yang paling dibenci dan tidak dihormati!