Marina Berjaya Membuat Lampard Terus Tersenyum Riang

Chelsea dilaporkan dalam rundingan akhir untuk menandatangani pemain pertahanan kiri Leicester City, Ben Chilwell pada jendela perpindahan musim panas ini.

Chilwell bakal menjadi pemain ketiga yang ditandatangani oleh skuad the blues untuk menghadapi musim baru nanti.

Chelsea setakat ini sudah berjaya untuk membawa Hakim Ziyech dari Ajax dan Timo Werner dari RB Leipzig ke Stamford Bridge pada musim panas Ini.

Mereka juga kini dalam fasa perundingan dengan Bayer Leverkusen untuk mendapatkan Kai Havertz.

Marina Granovskaia terus membuat Lampard tersenyum gembira apabila beliau memulakan sesi rundingan bagi mendapatkan bintang Leicester City, Ben Chilwell.

Frank Lampard sendiri sudah lama berminat untuk mendapatkan Ben Chilwell dan pemain pertahanan kiri Leicester itu merupakan sasaran utamanya sejak mula menjadi pengurus Chelsea.

Pemain kebangsaan England itu telah menjadi antara salah seorang pemain pertahanan terbaik di pentas Premier League sejak mula menjadi pemain utama The Foxes pada musim 2017/18.

Pengurus pasukan Chelsea, Frank Lampard melihat Chilwell sebagai pemain harapan untuk jangka panjang bagi mengisi kekosongan di posisi yang agak bermasalah untuk skuad kendaliannya.

Frank Lampard agak kurang mempercayai Emerson dan Alonso yang tidak mempamerkan aksi terbaik sebagai pemain pertahanan kiri Chelsea.

Lampard turut dilaporkan bakal menjual salah seorang dari dua pemain itu sekiranya Ben Chilwell berjaya ditandatangani pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Menurus laporan dari The Athletic, Leicester City meminta yuran perpindahan bernilai £45 juta untuk Chelsea mendapatkan Ben Chilwell.

Ben Chilwell dilaporkan mengalami kecederaan ketika akhir musim lalu dan beliau terlepas tiga perlawanan terakhir untuk Leicester.

Chelsea sendiri sudah mengesahkan bahawa Ben Chilwell akan pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga minggu dan boleh kembali menjalani latihan seperti biasa untuk menghadapi saingan liga nanti.

Leicester sendiri sebenarnya tidak mahu menjual Ben Chilwell dan mahu terus menggunakan khidmatnya bagi menghadapi musim baharu.

Namun kerana krisis ekonomi yang mereka alami selepas penularan wabak yang memberi impak kepada kewangan kelab, maka Leicester terpaksa untuk melepaskan beberapa pemain untuk mendapatkan dana tambahan.

Tanda harga £45 juta yang diletakkan kepadanya menjadikan Ben Chilwell sebagai antara pemain full-back termahal dipentas premier league disamping Aaron Wan Bissaka dan Kyle Walker.

Sekiranya perjanjian ini berjaya diselesaikan, Ben Chilwell akan meninggalkan Leicester selepas melakukan 123 penampilan untuk skuad dalam tempoh lima tahun ini.

Satu-satunya saingan Chelsea dalam perebutan untuk mendapatkan Ben Chilwell adalah Manchester City.

City turut menunjukkan minat untuk mendapatkan Ben Chilwell setakat ini, namun Pep Guardiola dilaporkan tidak meletakkannya sebagai sasaran utama beliau.

Jadi Chelsea dilihat paling pasti bakal berjaya dalam urusan perpindahan untuk mendapatkan Ben Chilwell dari Leicester.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.