Marcus Thuram Terpaksa Buka Google Buktikan Identiti Untuk Ke San Siro

Segalanya amat sukar pada ketika dunia dilanda wabak pada hari ini. Kita disarankan untuk mengamalkan penjarakan fizikal, menggunakan pelitup muka, dan juga akan disaring sekiranya disyaki dijangkiti wabak tersebut.

Dan kesukaran untuk menjalani rutin dan pekerjaan harian bukan sahaja dirasai oleh kita di Malaysia. Perkara sama turut berlaku di luar negara. Tanyakan sahaja kepada Marcus Thuram.

Marcus adalah anak kepada legenda bola sepak Perancis, Lilian Thuram dan kini beraksi bersama Borussia Monchengladbach di Jerman.

Ketika menuju ke stadiun untuk menghadiri sidang media sepertimana yang ditetapkan oleh UEFA, Marcus telah dihalang oleh pengawal keselamatan dari memasuki San Siro yang tidak mengenali beliau walaupun telah mendedahkan wajah dirinya yang ditutup oleh pelitup muka.

Mujurlah Thuram membawa bersama telefon bimbitnya dan terpaksa melakukan carian di Google terhadap dirinya sendiri untuk membuktikan identiti dirinya.

Thuram kemudiannya dibenarkan masuk untuk menyertai pengurus pasukan Marco Rose untuk sidang media sebelum perlawanan menentang Inter Milan itu.

Akaun Twitter pasukan turut tidak ketinggalan berkongsi melakukan ciapan terhadap insiden yang sedikit melucukan itu, sebelum uanya dipadam.

Marcus Thuram sebenarnya tidak asing dengan kehidupan di Itali. Beliau sendiri telah dilahirkan di Parma pada 1997 apabila ayahnya beraksi bersama kelab Serie A di situ.

Ayahnya yang merupakan seorang pemain pertahanan turut pernah beraksi bersama Juventus, Monaco dan juga Barcelona.

Pada musim lalu Marcus telah menjaringkan 10 gol dalam aksi Bundesliga, dan turut menghasilkan 8 assists untuk membantu Gladbach menamatkan sangan di tangga keempat Bundesliga.

Kedudukan tersebut membuka laluan untuk mereka layak ke pertandingan Champions League pada musim ini dan diundi untuk berada di dalam kumpulan dengan pasukan seperti Inter, Real Madrid,d an Shakhtar Donetsk.

Dalam perlawanan pada malam tadi yang merupakan aksi dan penampilan pertama Marcus Thuram di pentas Champions League, beliau membantu pasukannya untuk mengikat Inter Milan dengan keputusan seri 2-2.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.