Marcus Rashford: “MBE Tidak Akan Mengubah Siapa Saya Sebenarnya”

Penyerang Manchester United, Marcus Rashford menyatakan bahawa gelaran MBE yang beliau terima tidak akan pernah mengubahnya.

Rashford telah dianugerahkan dengan anugerah tersebut pada Oktober lalu atas usaha murni beliau dalam membantu kanak-kanak di UK ketika dalam situasi pandemik.

Pemain kebangsaan England yang kini berusia 23 tahun itu telah berjaya melobi pihak kerajaan supaya menarik balik keputusan untuk memberhentikan pemberian makanan percuma kepada kanak-kanak sekolah.

Beliau turut berusaha untuk memastikan supaya kesemua kanak-kanak yang memerlukan akan mendapatkan hak mereka sepanjang musim panas lalu.

Sejak dari itu, Rashford telah membina satu pasukan khas berkait bekalan makanan kepada kanak-kanak yang memerlukan.

Beliau mengadakan usaha sama dengan pasaraya ternama di UK dan bersama beberapa jenama makanan lain, untuk melaksanakan usaha murninya itu.

Dalam satu temu bual khas bersama Soccer AM, Rashford mengakui bahawa beliau tidak pernah terfikir akan dianugerahkan dengan anugerah MBE.

“Ketika saya masih kanak-kanak, ia bukanlah impian saya untuk memiliki gelaran ini dan berjaya seperti sekarang bukanlah satu hal yang saya duga akan dapat saya capai.”

“Ia hanyalah sesuatu yang saya ambil dari usaha saya dan saya akan pastikan ia tidak akan mengubah saya sebagai manusia dan saya mahu terus menjadi diri saya sendiri.”

“Saya pastinya menghargai semua ini dan ia tidak akan pernah terjadi andai tiada sokongan dari semua pasukan yang berada di belakang saya.”

“Keluarga saya, kawan-kawan saya, dan paling penting sekali negara, terima kasih atas sokongan yang ditunjukkan kepada saya dalam tempoh beberapa tahun ini.”

“Saya tahu dalam bola sepak sukar untuk mengetepikan perseteruan. Tapi ketika waktu yang mana ada orang sangat memerlukan, masyarakat dan negara sendiri berjaya melakukan itu. Ia sesuatu yang sangat hebat dan layak dipuji.”

Rashford dan rakan sepasukannya kini sedang dalam persiapan terakhir untuk menghadapi Liverpool lewat malam ini di Anfield.

Pendahulu saingan liga, Manchester United akan berdepan dengan pasukan yang berada dikedudukan ketiga liga, Liverpool dan mana-mana pasukan yang menang bakal berada di puncak saingan liga.

Liverpool dalam usaha untuk mempertahankan rekod tidak pernah kalah mereka di Anfield dalam saingan liga sejak 2017, manakala United pula cuba untuk mengekalkan rekod bersih mereka di tempat lawan.

Perlawanan yang menemukan kedua-dua pasukan itu pada lewat malam ini pastinya akan menyajikan aksi yang mantap dan menghiburkan para peminat.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.