Marcelo Bielsa Akan Bertelanjang Jika Kalah

Marcelo Bielsa cenderung untuk melakukan rutin yang pelik jika pasukan kendaliannya mengalami kekalahan di perlawanan penting.

Menurut dua bekas pemain yang pernah beraksi di bawah kendalian Bielsa, jurulatih Argentina itu pernah menanggalkan pakaian tanpa seurat benang selepas tewas dalam perlawanan.

Tabiat sukar dijangka

Tetapi tabiat pelik beliau adakalanya sukar dijangka. Menurut Mark Gonzalez dan Jose Pedro Fuenzalida yang pernah beraksi di bawah kendalian Bielsa ketika jurulatih itu membimbing Chile, jurulatih Leeds itu turut bertindak berbogel di atas meja rawatan selama setengah jam selepas tewas kepada Ecuador.

Bercakap kepada Abrazo de Gol, Gonzalez berkata: “Bielsa memasuki bilik persalinan. Dia kelihatan panas dan berjalan ke hulu dan ke hilir tanpa mengeluarkan sepatah kata pun.

“Ada sebuah bilik persalinan bersebelahan yang kami gunakan, dan di situlah dia [Bielsa] berada.

“Dan apabila kami ke situ, dia dalam keadaan tanpa seurat benang sambil berbaring di atas meja rawatan seperti menunggu giliran untuk dibedah.

“Beliau berada di situ tidak kurang 30 minit tanpa pakaian sepenuhnya.”

Tabiat aneh ini bukan hanya berlaku sekali. Fuenzalida turut pernah melihat Bielsa mengoyakkan pakaian yang dipakainya dengan penuh kemarahan selepas tewas kepada Itali.

Bercakap kepada talkSPORT Fuenzalida pernah mendedahkan:

“Ia berlaku beberapa kali. Dalam satu perlawanan, kami tewas 1-0 kepada Itali walaupun bermain dengan baik dan hilang ramai tonggak utama.

“Malah beliau bergaduh dengan pengurus Itali. Beliau kembali ke bilik persalinan penuh dengan rasa amarah. Dan apabila beliau tiba di bilik persalinan, beliau berjalan ke sana sini sambil mengoyakkan baju.

Taksub kepada taktikal

Jurulatih berusia 65 tahun ini sememangnya dikenali sebagai jurulatih yang taksub dengan taktikal. Pada tahun lalu Bielsa pernah memberikan ceramah kepada wartawan berikutan insiden ‘spygate’ dengan Derby County.

Abang kepada Marcelo Bielsa, iaitu duta Kerajaan Argentina di Chile, Rafael Bielsa juga pernah berkongsi kisah bagaimana pengendali itu menyaksikan 4 perlawanan berasingan secara serentak untuk melakukan analisis.

Rafael berkongsi bagaimana beliau menemui sebuah alat lama yang dianggap sebagai artifak di loteng kediaman mereka di Rosario milik abangnya itu.

Menurut Rafael alat itu seperti sebuah rak yangd direka oleh Marcelo sendiri, diperbuat daripada besi kaca keras untuk memuatkan empat televisyen pada satu masa.

Rak tersebut bertujuan untuk membenarkan Marcelo menyaksikan empat perlawanan sekali gus pada satu-satu masa. Bagaimana Marcelo melakukannya?

“Marcelo mempunyai sejenis rak diperbuat daripada besi dan kaca keras yang boleh memuatkan empat televisyen. Ia adalah perabot yang aneh,” kata Rafael sambik ketawa.

“Saya pernah melihat bagaimana beliau menyaksikan empat perlawanan berbeza pada satu masa. Beliau merakam setiap perlawanan, memainkannya, dan menghentikannya.

“Saya pernah menegur “Hey Marce, dengar apa yang saya mahu katakan. Kita tidak boleh melakukan ini seteliti begini.”

“Beliau kemudian menjawab saya: ‘Ya kita boleh lakukan. Apa yang saya lihat tidak sama dengan dengan perkara yang orang lain lihat. Apakah kekuatan, atau kelemahan pasukan yang bermain. Masalahnya tidak ada orang lain yang boleh menilai perlawanan sebagaimana saya lakukan,’ jawab Marcelo kepada saya.

Rafael mendedahkan Rafael sebenarnya tidak kekurangan pembantu untuk melakukan analisis perlawanan. Jurulatih itu mempunyai sekumpulan pembantu dengan segala informasi yang beliau mahukan untuk setiap perlawanan.

Namun demikian, Marcelo tetap Marcelo. Beliau lebih yakin dengan penilaian yang dilakukannya sendiri, dengan setiap perkara dilakukans secara terperinci.

Penutup

Musim lalu kami tidak pasti berapa kali Bielsa bertelanjang memandangkan Leeds tewas sembilan perlawanan di Championship untuk muncul juara dan mengembalikan Leeds ke Premier League pada musim ini.

Bielsa dan Leeds akan bertandang ke Anfield untuk bertemu Liverpool pada perlawanan pembukaan Premier League  esok.

Persoalan lebih besar, adakah Bielsa akan berbogel di Anfield?

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.