Mandzukic Tolak Man United, Sertai Kelab Qatar, Juventus Mahukan Erling Haaland

Mario Mandzukic sah tidak akan menyertai Manchester United pada Januari ini selepas pasukan tersebut dikatakan mahu menjadikan pemain veteran itu sebagai back up plan.

Mandzukic sebaliknya memilih untuk menyertai kelab Qatar iaitu Al Duhail.

Pada pra musim 2019/20, Maurizio Sarri sudah menyatakan secara terbuka beliau tidak mahukan Mandzukic dan memberikan kebenaran kepada pemain itu bercakap dengan mana-mana kelab.

Hal ini kerana, Juventus ada lambakan penyerang, temasuk kepulangan semula Gonzalo Higuain daripada pinjaman dari Chelsea.

Manchester United dilaporkan berminat dengan penyerang 33 tahun itu selepas Lukaku menyatakan hasrat beliau mahu menyertai Inter Milan.

Mario Mandzukic berada di Qatar pada Isnin lalu untuk memuktamadkan perpindahannya ke kelab tersebut. Ini bermakna ia telah mengakhiri 4 musim Mandzukic bersama dengan juara Itali, The Old Lady.

Masa depan Mandzukic menjadi tanda tanya, selepas beliau tidak terlibat dalam promosi dan juga aktiviti keraian Hari Natal pasukan Juventus.

Mandzukic merupakan antara pemain yang banyak beraksi ketika era Max Allegri. Beliau membantu Juventus memenangi 4 Serie A dan 3 Copa Italia.

Sarri tidak menggunakan khidmat pemain itu dan Mandzukic masih berharap pengurus itu mengubah fikirannya. Namun ia tak berlaku, dan Mandzukic terpaksa makan hati dan terpaksa pergi jua.

Al Duhail ketika ini sedang mendahului carta Liga Qatar Stars selepas 11 perlawanan.

Beberapa minggu kebelakangan ini, Man United semakin kencang dikaitkan dengan penyerang muda yang beraksi untuk RB Salzburg iaitu Erling Braut Haaland.

Pemain itu juga dikatakan telah terbang ke Manchester dan meluangkan masa seminggu di bandar tersebut. Ada yang mengaitkannya dengan usaha untuk berbincang dengan Man United.

Haaland merupakan bekas anak didik Ole Gunnar Solskjaer ketika di Norway bersama kelab Molde.

Namun Haaland menyatakan beliau datang ke Manchester hanya untuk bercuti dengan kawan-kawannya sempena cuti Hari Natal.

Juventus kini dikatakan mahu mendapatkan Erling Haaland bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mario Mandzukic. Dan Juventus tahu pemain seperti Gonzalo Higuain sedang menuju ke peringkat akhir kariernya.

Erling Haaland turut menarik minat banyak lagi kelab sensasi di Eropah selain daripada Man United dan Juventus. Antaranya Borussia Dortmund dan juga RB Leipzig.

Pada usianya baru 19 tahun, Erling Haaland telah menjadi salah seorang pemain terbaik dalam Liga Juara Juara Eropah musim ini.

Beliau memiliki gaya permainan yang lasak dan pantas, serta seorang pemain muda yang penuh dengan keyakinan pada dirinya.

Goal melaporkan Juventus sudah memenangi persaingan mendapatkan Erling Haaland dengan membayar €30 juta untuk pemain tersebut.

Erling Haaland merupakan pemain yang dibawah agensi Mino Raiola. Sebelum ini Mino Raiola pernah memuji Juventus sebagai pasukan yang senang dibawa berurusan, ketika perpindahan Matthijs De Ligt.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.