Manchester United Tidak Akan Makan Duit Rakyat

Manchester United amat pro aktif dalam usaha mereka meringankan beban kewangan kakitangan sejak penularan wabak COVID-19.

Malah kelab tersebut dilaporkan sama sekali tidak akan menggunakan dana yang diperuntukkan kerajaan untuk membayar kakitangan sepertimana yang dilakukan oleh beberapa kelab lain.

Tottenham dan Newcastle adalah antara yang memilih menggunakan skim kerajaan untuk menanggung kos kakitangan mereka.

Namun ianya Liverpool yang paling mendapat krtitikan sebelum pengurusan kelab Merseyside itu menarik balik arahan berkenaan.

Bakal juara Liga Perdana Inggeris 2019/20 – sama ada dianugerahkan, atau tertangguh – mengumumkan keuntungan £42 juta pada Februari lalu.

Liverpool turut berbelanja besar untuk mendapatkan pemain pertahanan Virgil van Dijk, dan penjaga gol Alisson Becker – kedua-duanya rekod dunia pemain pertahanan dan penjaga gol pada ketika itu – namun menyerahkan tanggungjawab membayar gaji kakitangan menggunakan dana dari pembayar cukai di UK.

Tidak terkecuali lantang mengkritik Liverpool sebelum ini adalah bekas pemain, Jamie Carragher yang berkata tindakan tersebut menyebabkan kelab ‘hilang penghormatan dan segala perkara yang baik’.

Namun perkara berbeza dilakukan oleh seteru kepada Liverpool, Manchester United.

Menurut laporan The Athletic, Manchester United sudah menyatakan pendirian tidak akan menggunakan skim tersebut sejak pada bulan lalu lagi.

Pendirian tersebut dilakukan sejurus selepas Kaunselor Rishi Sunak mengumumkan pakej tersebut pada 20 Mac lalu sebagai salah satu usaha dari kerajaan UK membantu perusahaan kecil

Malah arahan turut dikeluarkan oleh keluarga Glazer kepada pengurusan di Old Trafford supaya kekal dengan komitmen membayar penuh 900 kakitangan kelab tersebut.

Secara keseluruhan, Manchester United mempunyai lebih 1,500 kakitangan bukan pemain – termasuk mereka yang terlibat hanya pada hari perlawanan.

Arahan tersebut kemudiannya disahkan oleh Naib pengerusi Eksekutif, Ed Woodward melalui satu email dalaman kepada kakitangan kelab yang memberi jaminan gaji mereka akan dibayar penuh seperti bekerja pada hari normal yang lain.

Keluarga Glazer dikatakan tidak pernah mengharapkan bantuan daripada kerajaan kerana sedar akan kesan moral atas tindakan sedemikian.

Manchester United mempunyai aliaran tunai melebihi £100 juta, dan dengan kekuatan kewangan sebegitu, ia tidak memberikan sebarang masalah untuk mereka bertahan selama beberapa bulan.

Sumber dari kelab juga berkata tindakan membayar penuh gaji kakitangan adalah selaras dengan perspektif komersil, dimana United dilihat sebagai jenama yang “bersih” hasil dari rakan tajaan yang kukuh dari seluruh dunia.

United turut tidak mengambil langkah melakukan pemotongan gaji pemain, tetapi kapten pasukan Harry Maguire mengetuai rakan sepasukan yang lain bersetuju untuk menyumbang 30% pendapatan mereka kepada hospital tempatan dalam usaha memerangi COVID-19.

Jumlah potongan tersebut tidak termasuk potongan gaji pemain melibatkan pakatan kapten-kapten pasukan EPL diketuai Jordan Henderson.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.