Manchester United Terlepas Peluang Menandatangani The Next Steven Gerrard

Bekas pemain sasaran Manchester United, Jude Bellingham telah disamakan dengan Steven Gerrard oleh rakan sepasukan barunya, Erling Haaland.

Setan merah sebelum ini sangat berminat untuk menandatangani Jude Bellingham dari Birmingham City pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Bellingham sendiri juga sudah mengadakan kunjungan ke Old Trafford untuk melawat kemudahan latihan yang ada di sana seandainya beliau menjadi pemain Manchester United satu hari nanti.

Namun pada akhirnya, bekas pemain midfield muda Birmingham City itu memilih untuk menandatangani perjanjian bersama kelab dari Jerman, Borussia Dortmund.

Pemain berusia 17 tahun itu sudah tiga kali beraksi dalam saingan Bundesliga dan mencatatkan satu assist serta berjaya menjaringkan satu gol dari satu-satunya penampilan beliau dalam saingan DFB Pokal.

Penyerang handalan Norway itu sendiri juga merupakan salah seorang pemain sasaran United sebelum ini yang akhirnya memilih untuk menyertai Borussia Dortmund.

Beliau telah dipilih sebagai pemain yang memperkenalkan rating FIFA rakan sepasukannya itu dalam satu video khas.

Ketika beliau memperkenalkan Bellingham, Haaland memanggil pemain muda itu sebagai the next Stevie G sebelum mendedahkan FIFA kad bekas pemain Birmingham City itu.

Bercakap selepas perpindahannya ke Dortmund, Bellingham menjelaskan bagaimana beliau dengan mudah membuat keputusan untuk menyertai kelab Jerman itu.

“Perkara paling sukar tentang meninggalkan Birmingham adalah kerana saya sudah terlalu lama berada di sana.”

Jelasnya kepada Sky Sports.

“Ianya terasa seperti mereka adalah sebahagian besar dari jiwa saya, menjadi peminat dan kemudian berjalan terus menjalani latihan dan menyertai akademi sebelum beraksi untuk skuad utama.”

“Saya rasa dalam kehidupan kita harus memanfaatkan peluang, dan inilah peluang terbesar untuk saya terima dan bermain bersama kelab yang sangat hebat ini.”

“Ianya bukan keputusan yang sukar untuk saya buat sebelum saya datang ke sini.”

Setan merah pastinya berasa bengang dengan kelab dari Jerman itu. Mereka terlepas peluang mendapatkan Haaland pada Januari dengan bekas penyerang Molde itu memilih untuk ke Dortmund dari Red Bull Salzburg berbanding ke Old Trafford.

Kemudian United telah menyasarkan Jude Bellingham untuk dibawa ke Old Trafford selepas melihat aksi cemerlangnya dalam saingan Championship.

Tetapi bintang England bawah 21 tahun itu juga memilih untuk menyertai Dortmund dan terdapat laporan yang menyatakan bahawa Bellingham menolak tawaran United kerana masalah gaji yang diminta.

Akhir sekali, ketika jendela perpindahan musim panas dibuka, setan merah telah dikaitkan dengan perpindahan Jadon Sancho.

Beberapa tawaran dari Manchester United telah ditolak oleh Dortmund dengan mereka tidak mahu melepaskan Sancho dengan nilai yang lebih rendah dari diminta.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.