Manchester United Mulakan Projek Julang Piala Domestik Dan UCL Bermula Musim Depan

Pengarah bola sepak kelab paling popular di dunia, Manchester United, iaitu John Murtough menyatakan bahawa kelab sedang dalam proses penilaian sangat menyeluruh dalam memilih pengurus baharu untuk menjadi pengurus tetap kelab tersebut.

Ketika ini, Manchester United dikendalikan oleh Ralf Rangnick secara interim selepas mereka memecat Ole Gunnar Solskjaer beberapa bulan yang lalu.

Menurut Murtough, mereka mahukan pengurus yang mampu membawa kelab kembali menjuarai piala piala domestik di England seperti Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Carabao. Kemudian United mahu memenangi semula Liga Juara Juara Eropah yang kali terakhir mereka menangi juga di bawah kendalian Sir Alex Ferguson.

Pada ketika ini, piala terakhir yang United menangi adalah di bawah kendalian Jose Mourinho, ketika mereka menjuarai Liga Europa pada 2017.

Oleh itu, Manchester United kali ini akan lebih teliti dalam pemilihan pengurus. Antara nama yang dikaitkan dengan mereka ialah pengurus PSG, Mauricio Pochettino dan juga pengurus Ajax iaitu Erik Ten Hag.

Beberapa bulan lalu, Manchester United menyatakan bahawa mereka tidak menolak kemungkinan akan memberikan Rangnick peluang untuk menjadi pengurus tetap jika pengurus interim itu memuaskan hati mereka.

Buat masa ini, United dikatakan berpuas hati dengan prestasi Rangnick. Tetapi Rangnick akan menjadi penasihat pembangunan kelab apabila dia melepaskan jawatan interim itu kelak.

Murtough berkata: “Kami menjalankan proses yang sangat menyeluruh dalam perlantikan pengurus tetap yang baru yang akan mengendalikan kelab ini bermula musim panas musim hadapan.”

“Dengan objektif pengurus itu akan membimbing kita menjadi pencabar piala piala domestik dan juga kejuaraan Eropah.”

Musim ini, Manchester United sudah tidak bersaing dalam kesemua piala domestik. Mereka disingkirkan dari Piala Carabao pada pusingan ketiga. Kemudian diaibkan dalam Piala FA pusingan keempat.

Kedudukan mereka dalam carta liga, sangat jauh untuk mereka mengejar Manchester City yang kini sudah 19 mata di atas United. Paling realistik adalah sasaran 4 teratas dan cuba memenangi Liga Juara Juara Eropah.

Prestasi Manchester United sejak ditinggalkan Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat pada 21 November, mereka hanya kalah sekali dalam liga perdana Inggeris. Menang 8 daripada 17 perlawanan terakhir mereka di bawah kendalian Ralf Rangnick.

Manchester United seri 1-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 akhir Liga Juara Juara Eropah dengan Atletico Madrid.

Murtough juga melantik Dominic Jordan sebagai saintis data kelab yang baru. Diharap akan dapat membantu kelab dengan data saintifik bagi kegunaan staf kejurulatihan dan pemain.

Ianya bukti bahawa Manchester United bukan hanya menekankan aspek latihan teknikal semata mata. Namun mereka juga memberikan perhatian kepada aspek data dan statistik.

Manchester United kini berada di tangga keempat dalam carta liga. Namun pesaing mereka, Arsenal yang berada di tangga keenam masih ada 3 perlawanan kurang daripada mereka. West Ham di tempat kelima juga dua mata di belakang United tetapi masing masing sudah 27 aksi.

Pada awal musim ini, segalanya serba sempurna buat Manchester United. Mereka memenangi perlawanan awal musim dengan cemerlang. Kemudian mereka berjaya mendapatkan Raphael Varane, Jadon Sancho diikuti oleh kepulangan semula legenda kelab, Cristiano Ronaldo.

Tetapi United selepas itu bergelut dengan prestasi mereka. Mereka mengambil masa untuk menyesuaikan Jadon Sancho dan Ronaldo ke dalam pasukan mereka.

Bruno Fernandes baru baru ini menyatakan bahawa Manchester United lebih beridentiti di bawah kendalian Ralf Rangnick.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.