Manchester United Menjadi Pasukan Pertama Dihadiahkan Sepakan Penalti Selepas Wisel Penamat Dibunyikan

Manchester United mencipta sejarah dengan menjadi pasukan pertama yang menerima sepakan penalti selepas wisel penamat dibunyikan.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer berjaya menewaskan Brighton dengan keputusan 3-2 seterusnya membawa pulang tiga mata berharga selepas tewas kepada Crystal Palace minggu lalu.

Setan merah berkunjung ke AMEX stadium bertemu Brighton untuk perlawanan minggu ketiga saingan Liga Perdana Inggeris.

Brighton terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil dari sepakan penalti yang sungguh menarik dari Neal Maupay.

Brighton dihadiahkan sepakan penalti selepas Tariq Lamptey dijatuhkan oleh Bruno Fernandes dalam kotak penalti dan Neal Maupay menyempurnakan tendangan penalti itu dengan sungguh menarik.

Neal Maupay menewaskan De Gea dengan teknik panenka yang membuatkan penjaga gawang Sepanyol itu tergamam dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Tiga minit selepas itu, setan merah berjaya untuk mengikat kedudukan selepas Lewis Dunk menjaringkan gol sendiri.

Minit ke-55 perlawanan, giliran Marcus Rashford menjaringkan gol untuk setan merah mendahului Brighton dengan keputusan 2-1.

Rashford cemerlang mengayam-ayamkan barisan pertahanan Brighton sebelum melepaskan rembatan menewaskan Mathew Ryan.

Solly March berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk Brighton mengikat setan merah dengan kedudukan 2-2 di minit terakhir perlawanan.

Selepas pengadil meniup wisel penamat dan pemain pasukan Brighton berasa lega dengan keputusan seri, para pemain Manchester United meluru ke arah pengadil untuk meminta tendangan penalti.

Para pemain setan merah mendakwa bola telah terkena tangan Maupay terlebih dahulu sebelum wisel penamat dibunyikan.

Pengadil perlawanan, Chris Kavanagh kemudian melihat rakaman semula lalu menghadiahkan sepakan penalti kepada setan merah.

Para pemain Brighton membantah keputusan tersebut kerana merasakan perlawanan sepatutnya sudah tamat selepas wisel dibunyikan dan tidak sepatutnya ada bantahan lagi selepas dari itu.

Namun keputusan pengadil adalah muktamad dan Manchester United berjaya mendapatkan tendangan penalti dan pakar sepakan penalti, Bruno Fernandes mudah menjaringkan gol kemenangan untuk setan merah.

Bukan hanya dari kem Brighton sahaja yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil itu, malah kebanyakkan peminat juga mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan itu.

Wisel penamat kali kedua dan terakhir dibunyikan oleh pengadil dan Manchester United menamatkan perlawanan yang penuh dramatik itu dengan keputusan 3-2.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.