Manchester United Menawarkan £154 Juta Untuk Seorang Bakat Muda Dari Sepanyol

Manchester United dilaporkan bersedia untuk menawarkan £154 juta untuk pemain muda Barcelona, Ansu Fati pada jendela perpindahan musim panas ini.

United kini sedang giat berusaha untuk menandatangani pemain di posisi sayap pada jendela perpindahan kali ini dan bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho telah menjadi sasaran utama mereka.

Tetapi perundingan antara kedua-dua belah pihak tidak mendapat kata putus dan setan merah kini sedang memantau sasaran yang lain termasuk bintang berusia 17 tahun, Ansu Fati.

Manchester United dilaporkan akan melakukan bidaan bernilai £136 juta untuk pemain Sepanyol itu dan sanggup untuk mengeluarkan dana bernilai £154 juta yang ada dalam klausa perlepasan pemain itu.

Walau bagaimanapun setan merah dilaporkan mahu menamatkan perundingan itu selepas Barca menjelaskan klausa perlepasan terbaru Ansu Fati.

Barca menyatakan bahawa klausa perlepasan terbaru Ansu Fati selepas menandatangani perjanjian kontrak baru dengan kelab kini bernilai £363 juta.

Oleh kerana itu United akhirnya kembali mencuba nasib untuk mendapatkan Jadon Sancho dari Borussia Dortmund dan menghantar bidaan bernilai €100 juta.

Namun laporan terbaru dari Sky Sports mendakwa bahawa tawaran dari setan merah itu telah ditolak mentah-mentah oleh Dortmund.

Borussia Dortmund kekal dengan nilai £108 juta yang mereka mahukan untuk pemain kebangsaan England itu dan tidak mahu menanggung kerugian untuk melepaskan beliau dengan nilai lebih rendah.

Jadon Sancho merupakan nadi utama dalam sistem serangan kelab. Musim lalu beliau berjaya menjaringkan 17 gol dan mencatatkan 17 assists dalam saingan Bundesliga.

Sebelum jendela perpindahan ditutup, satu-satunya pemain yang masih dalam perundingan dengan Manchester United adalah Alex Telles.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu kini semakin hampir untuk menamatkan rundingan dengan Porto untuk menandatangani Alex Telles.

Sementara itu, Ansu Fati telah membuktikan bahawa beliau sememangnya salah seorang bakat muda terbaik dunia ketika ini selepas memulakan saingan liga musim ini dengan sungguh cemerlang.

Beliau menjaringkan dua gol dan memenangkan penalti untuk Barcelona dalam kemenangan 4-0 menewaskan Villarreal kemarin dan hampir menjadi pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Tetapi memandangkan anugerah tersebut ditaja oleh Budweiser, Fati tidak boleh untuk menerima anugerah tersebut kerana usianya masih dibawah umur untuk meminum minuman keras di Sepanyol.

Pemain pertahanan kiri, Jordi Alba telah dipilih sebagai pemain terbaik dalam perlawanan tersebut menggantikan Ansu Fati.

Walaupun tidak menerima anugerah tersebut Ansu Fati tetap terus bersemangat dan menegaskan bahawa beliau sangat bahagia berada di Nou Camp.

“Bermain bersama Lionel Messi merupakan impian saya sejak dari saya kecil dan sekarang saya sedang menjalaninya.”

Jelas Fati kepada Goal.

“Dia banyak memberi nasihat kepada saya, dia banyak membantu saya dalam padang dan ketika sesi latihan, dan dia banyak membimbing saya dalam semua bidang. Dan itu lah yang membuatkan saya sangat gembira.”

“Saya mahu terus menambah baik keupayaan saya setiap hari, saya mahu terus belajar dari rakan sepasukan kerana mereka yang terbaik dan merekalah yang selalu mahu untuk membantu saya setiap hari.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.