Manchester United Hampir Pasti Untuk Menandatangani Alex Telles

Manchester United dilaporkan telah bersetuju untuk menandatangani Alex Telles dari FC Porto dengan nilai £18 juta.

Setan merah baru-baru ini terlepas peluang untuk mendapatkan Sergio Reguilon dan akhirnya mereka nekad mencuba untuk mendapatkan sasaran seterusnya.

Manchester United melalui jendela perpindahan kali ini dengan sangat menyedihkan dan mungkin antara jendela perpindahan yang sukar untuk mereka lupakan.

Selepas gagal untuk menandatangani Gabriel, Thiago Alcantara, Sergio Reguilon dan Gareth Bale, setan merah akhirnya dilaporkan semakin pasti untuk mendapatkan seorang pemain sasaran mereka pada musim panas ini.

Setan merah dilaporkan sudah bersetuju untuk menandatangani Alex Telles dari FC Porto dengan nilai dianggarkan £18 juta.

Pemain kebangsaan Brazil itu bakal menandatangani perjanjian selama lima tahu dengan Manchester United.

Menurut laporan sama, Telles telah banyak kali ditawarkan kepada Manchester United oleh ejennya, Pinhas Zahavi.

Dengan usaha mereka untuk mendapatkan pemain pertahanan kiri terbaik dan kegagalan untuk menandatangani Reguilon, maka Telles mungkin pilihan terbaik yang setan merah ada.

Telles kini sudah berusia 27 tahun dan telah menghabiskan empat tahun kariernya beraksi di Portugal.

Beliau menjaringkan 22 gol dan mencatatkan 55 assists dari 191 perlawanan untuk FC Porto sepanjang tempoh empat tahun itu.

Pemain kebangsaan Brazil itu sangat dikenali dengan kehandalan beliau melakukan set-piece dan hantarannya yang sungguh mengagumkan.

United pula sangat memerlukan kualiti pemain sepertinya dengan kini full-backs seperti Luke Shaw dan Aaron Wan Bissaka memiliki sedikit kekurangan dari segi itu.

Pemain pertahanan kiri itu akan menyertai Donny Van De Beek yang mana merupakan satu-satunya pemain yang telah ditandatangani oleh United pada jendela perpindahan musim panas ini.

Setan Merah juga sehingga kini masih dalam usaha untuk mendapatkan Jadon Sancho dari Borussia Dortmund, namun masih lagi tiada kesepakatan yang berjaya dihasilkan oleh kedua-dua belah pihak.

Paris Saint Germain juga dikatakan antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan Telles, namun Manchester United masih lagi mendahului untuk mendapatkan bintang Brazil itu.

Sehingga kini masih belum ada kesepakatan yang terhasil antara kedua-dua belah pihak namun United dilaporkan akan menghantar bidaan rasmi dalam masa terdekat.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.