Manchester United Dalam Perundingan Untuk Menandatangani Bintang Barcelona

Manchester United dilaporkan sedang dalam perundingan dengan Barcelona berkait dengan perpindahan Ousmane Dembele.

Setan merah dikatakan meminta Barcelona untuk meminjamkan pemain kebangsaan Perancis itu kepada mereka selama tempoh satu musim penuh.

Jendela perpindahan musim panas kali ini sungguh suram untuk skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer dengan kebanyakkan pemain sasaran mereka pergi sertai pasukan lain.

Walaupun setan merah dikatakan antara pasukan yang paling bersedia untuk menghadapi jendela perpindahan kali ini, namun hanya Donny Van De Beek sahaja yang sudah tiba di Old Trafford.

Manchester United telah dikaitkan dengan begitu ramai pemain sejak dari musim panas lalu, namun mereka gagal untuk mendapatkan barisan pemain sasaran mereka.

Bulan lalu, terdapat berita tergempar yang menyatakan bahawa setan merah telah berunding secara serius dengan Borussia Dortmund berkait perpindahan Jadon Sancho.

Urusan perpindahan tersebut dilaporkan bernilai £90 juta, namun hakikatnya mereka masih belum membuat bidaan rasmi lagi untuk mendapatkan pemain kebangsaan England itu.

Walau bagaimanapun, Dortmund telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kemungkinan untuk pemain itu meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Pasukan dari Bundesliga itu telah memuktamadkan keputusan mereka bahawa Jadon Sancho akan kekal beraksi bersama Dortmund musim ini.

Setan merah jelasnya perlu mencari kekuatan baharu di bahagian sayap mereka dan sepertinya usaha untuk mendapatkan Sancho semakin sukar untuk berlaku.

Oleh kerana itu terdapat sumber yang menyatakan setan merah kini sudah mencari sasaran baru untuk ditandatangani menggantikan Sancho yang gagal untuk mereka dapatkan.

Manchester United kini dikaitkan dengan menandatangani pemain sayap Barcelona, Ousmane Dembele sebagai pemain pinjaman selama satu musim penuh.

United telah meminta kepada Barcelona untuk mendapatkan Ousmane Dembele sebagai pemain pinjaman untuk tempoh satu musim penuh.

Menurut sumber laporan dari Record Sport, Barcelona tidak mahu meminjamkan Dembele dan lebih berminat untuk menjual pemain itu dengan nilai £100 juta.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa pegawai kanan di Old Trafford, termasuk naib ketua eksekutif, Ed Woodward, telah berbincang dengan Barcelona mengenai kemungkinan untuk perjanjian tersebut.

Ia dipercayai Barcelona hanya mahu melepaskan pemain itu kepada United sekiranya setan merah meletakkan syarat untuk pembelian tetap dalam perjanjian tersebut.

Dembele dilihat sukar untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama Barcelona sejak ketibaannya dari Borussia Dortmund pada tahun 2017 dengan nilai £105 juta.

Ousmane Dembele merupakan antara pemain yang kerap mengalami kecederaan dan kerana itu lah beliau gagal untuk memberikan aksi terbaiknya untuk Barcelona.

Pemain berusia 23 tahun itu cuma membuat sembilan penampilan sahaja untuk gergasi Sepanyol itu musim lalu selepas mengalami kecederaan panjang selama enam bulan.

Beliau turut diketepikan di awal musim 2019/20 kerana mengalami kecederaan otot.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.