Manchester United Bakal Berdepan Hukuman Berat Ekoran Kekecohan Yang Dicetuskan Oleh Para Penyokong

Manchester United dilaporkan bakal berdepan dengan hukuman pemotongan mata, selepas para penyokong membuat tunjuk perasaan yang mengakibatkan perlawanan pada hari Ahad lalu terpaksa ditangguhkan.

Pertembungan antara Manchester United bertemu Liverpool dalam aksi saingan premier league kemarin terpaksa ditangguhkan dek kerana gangguan dari para penyokong setan merah.

Kedua-dua FA dan Premier League sendiri ketika ini sedang membuka kertas siasatan berkait insiden yang berlaku di Old Trafford itu.

Para penyokong telah menimbulkan kekecohan di dalam dan luar stadium kerana mahu menunjukkan rasa tidak puas hati mereka kepada pemilik kelab, Glazer.

Ratusan penyokong menceroboh masuk ke padang dan meneruskan sesi tunjuk perasaan itu dengan cara yang lebih buas dan liar.

Awalnya perlawanan tersebut hanya ditangguhkan beberapa minit sahaja, dan selepas melihat situasi tersebut tidak menjaminkan keselamatan para pemain, maka ia terpaksa ditangguhkan terus.

Mengikut peraturan Premier League, kelab boleh dikenakan hukuman pemotongan mata seandainya mereka gagal memberi jaminan keselamatan kepada para pemain dan staff, termasuk laluan keluar masuk stadium.

Pihak FA sendiri turut boleh mengenakan hukuman denda atas kesalahan tersebut, atau mungkin lebih berat lagi, kelab boleh dihukum penggantungan serta ganti rugi atas segala kos ekoran dari penangguhan tersebut.

Kedua-dua persatuan itu sedang berbicara dengan Manchester United dan pihak berwajib tempatan untuk lebih memahami apa yang berlaku pada petang Ahad lalu.

Manchester United ketika ini 13 mata di belakang Manchester City, yang bakal dinobatkan sebagai Juara premier league musim ini.

Walau bagaimanapun, mereka ketika ini 11 mata dihadapan Tottenham Hotspur yang berada di kedudukan kelima dalam carta liga, seterusnya mengukuhkan kedudukan mereka untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Tunjuk perasaan yang diadakan pada hari kejadian bertujuan untuk meminta agar Glazer melepaskan Manchester United.

Tidak dinafikan masih ramai penyokong yang membuat tunjuk perasaan secara aman damai di perkarangan stadium, namun ada segelintir sahaja dari mereka yang mengubah keadaan menjadi lebih parah.

Ada penonton yang masuk ke stadium dan merosakkan harta benda milik kelab dan milik syarikat penyiaran, bahkan ada juga yang bertengkar dengan pihak Polis.

Lebih teruk lagi, segelintir dari mereka turut menimbulkan kekecohan di hadapan hotel tempat para pemain United tinggal.

Sepak mula dijadualkan jam 4.30pm dan ia terpaksa ditangguhkan bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa meleraikan penonton yang merusuh di dalam stadium.

Ia bertujuan untuk memastikan kedua-dua pasukan boleh sampai dan masuk ke dalam stadium dengan selamat dan perlawanan boleh dimulakan tanpa sebarang gangguan.

Namun melihat situasi tidak berubah, wakil kedua-dua kelab telah berunding dan bersetuju untuk menangguhkan terus perlawanan tersebut kerana memikirkan keselamatan para pemain.

Walau bagaimanapun, mengikut peraturan Premier League, undang-undang K14 yang mana pasukan tuan rumah perlu memastikan keselamatan para pemain, petugas dan semua yang terlibat perlu terjamin, dan perlawanan haruslah dilangsungkan dalam persekitaran yang selamat.

Pengadil perlawanan, Michael Oliver turut terlewat untuk sampai ke stadium, jadi Manchester United sememangnya boleh dihukum menjadi punca perlawanan tersebut ditangguhkan.

Premier League mempunyai kuasa untuk menyiasat mana-mana insiden yang dirasakan melanggar peraturan dan menjatuhkan hukuman termasuk denda atau penolakkan mata.

Namun begitu, Premier League juga boleh merujuk isu ini dan diajukan kepada pihak FA untuk tindakan yang lebih lanjut.

Peraturan badan induk bola sepak melibatkan kes keganasan seperti ini ada menyatakan:

“Siasatan FA menyimpulkan bahawa kelab yang terlibat didapati tidak mengawal sempurna atau gagal untuk menangani salah laku penyokongnya dengan baik, dan mereka mungkin akan dikenakan tindakan tatatertib.”

Pihak FA telah menyiapkan pegawak khas untuk menyiasat mana-mana peraturan yang dilanggar dan jika ia terbukti, pihak kelab mungkin akan digantung, dikenakan hukuman denda, atau stadium ditutup.

Premier league dan FA masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkait insiden yang berlaku, namun apa yang pasti, United jelas bakal berdepan tindakan undang-undang.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.