Man Utd Perlukan 20 Tahun Lagi Untuk Tamatkan Kemarau Kejuaraan Liga

Bekas pemain dan legenda Manchester United percaya bekas kelabnya itu perlu menunggu selama 20 tahun lagi untuk muncul juara Premier League.

Komen dari Giggs itu tiba berikutan pemerhatian beliau akan kejayaan Liverpool sejak semusim dua ini.

Skuad kendalian Jurgen Klopp mengakhiri kemarau kejuaraan Liga Inggeris selepas menanti selama 30 tahun.

Kali terakhir Manchester United bergelar juara pula ialah pada ketika musim terakhir Sir Alex Ferguson pada 2013.

Kerisauan utama Giggs ialah sumber yang ada pada Liverpool dan barisan pemain yang mereka miliki mampu membuatkan kelab dari Merseyside itu mendominasi saingan liga untuk tahun-tahun mendatang.

Giggs menghadiri satu temuramah yang dikendalikan oleh bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher baru-baru ini.

Ditanya oleh Carragher jika Giggs risau United perlu menunggu lama seperti Liverpool untuk kembali bergelar juara, ini jawapan bekas pemain sayap itu:

“Ya, 100%. Ia mungkin 15 tahun, atau 20 tahun lagi tanpa anda sedari. Terutama jika (Jurgen) Klopop dan (Pep) Guardiola terus kekal di sini.

“Mereka mempunyai sumber dan pemain yang diperlukan. Jadi kita perlu merujuk bila kali terakhir Liverpool memenanginya dan ia adalah pada 1990.

“Malah Klopp sendiri mengambil masa empat sehingga lima tahun setengah untuk menjuarai liga – ia tempoh masa yang lama. Anda harus fikirkan apa yang Klopp telah lakukan.

“Beliau menambah baik pasukan setiap musim dan dalam tempoh sama memenangi kejuaraan utama seperti Champions League. Anda melihat bagaimana penambahbaikan dilakukan, dan ia penting untuk membuang segala tekanan.

“Setiap pengurus dan pemain baru dilihat seperti dia akan memenangi untuk kami kejuaraan liga. Hakikatnya ia bukan begitu.”

Giggs turut mengulas perseteruan di antara Liverpool dan United yang telah ada zaman berzaman, dan mengakui kembali dari perlawanan di Anfield dengan kemenangan adalah perasaan terbaik yang dialaminya sebagai pemain.

“Perasaan terbaik yang saya sentiasa rasakan ialah meninggalkan Anfield dengan kemenangan, walaupun Liverpool bukanlah pasukan terbaik di liga pada ketika itu.

“Malah ketika saya beraksi bersama Salford, lawan paling keras kami hadapi adalah Bootle, Liverpool, Kirkby dan Sefton.

“Apabila anda berada di East Lancs, ia adalah satu mindset ia adalah perlawanan yang sukar. Ia bukan sekadar satu perlawanan bola sepak, tetapi juga ujian secara mental.”

Ryan Giggs adalah legenda Manchester United dan dianggap sebagai pemain paling berjaya di Liga Inggeris dengan 13 kejuaraan liga sepanjang kariernya di Old Trafford.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.