Man Utd Mahu Tawarkan De Gea Sebagai Pertukaran Untuk Dapatkan Penjaga Gol Terhebat Dunia

Manchester United sedang melakukan persiapan untuk membuat tawaran luar biasa berani dalam usaha mereka untuk menandatangani penjaga gol terbaik dunia.

Setan merah bahkan sanggup menggunakan penjaga gol utama mereka ketika ini, David de Gea sebagai pemain pertukaran untuk ditukarkan dengan Jan Oblak.

Bintang Atletico Madrid, Jan Oblak sememangnya dianggap sebagai salah seorang penjaga gol terhebat dunia pada ketika ini.

Beliau dilaporkan sudah berjaya menarik minat Ole Gunnar Solskjaer untuk menandatanganinya pada jendela perpindahan musim panas ini nanti.

Rancangan United untuk mendapatkan Oblak adalah dengan menawarkan De Gea dan ditambah dengan bayaran tunai.

Oblak masih dua tahun lebih muda berbanding De Gea yang ketika ini sudah berusia 30 tahun.

Penjaga gol kebangsaan Slovenia itu merupakan watak terpenting dalam skuad kendalian Diego Simeone sejak beliau ditandatangani pada 2014 yang lalu.

Sementara Man United pula, mereka pada musim ini telah berdepan dengan krisis pemilihan penjaga gol yang sangat memeningkan kepala.

Ia kerana sejak kembalinya Dean Henderson yang sebelum ini dipinjamkan ke Sheffield, Ole sukar untuk membuat pilihan siapa yang harus diturunkan sebagai penjaga gol utama.

Kedua-dua Dean Henderson dan penjaga gol kebangsaan Sepanyol, David De Gea masing-masing telah mempamerkan rentak permainan yang cemerlang dan menunjukkan mereka berhak untuk turun sebagai kesebelasan utama skuad.

De Gea dikatakan sedang dalam usahanya untuk meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas ini.

Ramai peminat yang merasakan aksi De Gea bertemu Villarreal, yang mana beliau gagal menyelamatkan 11 sepakan penalti dan turut gagal menyempurnakan penalti miliknya, merupakan aksi terakhir beliau bersama setan merah.

Ketika ramai yang menjangkakan Dean Henderson bakal menjadi penjaga gol utama United selepas pemergian De Gea, setan merah dengan tiba-tiba merancang untuk menandatangani Oblak.

Oblak dijangkakan akan dilepaskan dengan nilai sekitar £70 juta, tetapi dengan menawarkan De Gea sebagai pertukaran, United mungkin tidak perlu mengeluarkan dana yang lebih besar.

Satu hal yang mungkin bakal menyukarkan Atletico adalah berkait soal gaji De Gea yang ketika ini dilaporkan beliau menerima £375,000 seminggu.

Ia merupakan satu nilai yang sangat tinggi dan sukar untuk Atletico menawarkan gaji yang hampir dengan nilai tersebut kepada De Gea.

Walaupun penjaga gol berusia 30 tahun itu dianggap sebagai pemain yang berbakat, namun beliau dalam satu dua musim ini telah menunjukkan permainan yang sangat tidak konsisten.

Dan apa yang penting, Atletico sama sekali tidak terdesak untuk mendapatkan penjaga gol kerana mereka sendiri sudah mempunyai penjaga gol terhebat dunia pada ketika ini.

Jika Oblak sendiri mahukan cabaran yang baru, beliau mungkin akan memilih untuk menyertai Manchester United pada musim panas ini.

Untuk De Gea pula, jika benar perlawanan bertemu Villarreal merupakan aksi terakhirnya bersama United, ia sebenarnya bukanlah pengakhiran yang baik untuknya bersama setan merah.

Penentuan sepakan penalti yang mana beliau gagal menyelamatkan walau satu pun dari 11 sepakan, jelas menunjukkan teruknya prestasi beliau dalam perlawanan tersebut.

Jadi jika itu merupakan aksi terakhirnya, ia jelas bukan perlawanan selamat tinggal yang diharapkan untuk penjaga gol legenda United itu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.