Man Utd Dipercayai Hubungi Pochettino Untuk Ganti Solksjaer

Manchester United dipercayai telah menghubungi Mauricio Pochettino, dengan kedudukan Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford tampak goyah selepas dimalukan Tottenham Hotspur 6-1 pada hujung minggu lalu.

Solksjaer berada di dalam tekanan sepanjang mengendalikan Manchester United, namun berjaya membawa pasukan itu mengakhiri saingan di kedudukan  ketiga Liga Perdana Inggeris pada musim lalu.

Namun permulaan buruk kepada musim ini mengembalikan khabar angin pengendali dari Norway itu bakal dipecat, apatah lagi selepas menerima kritikan dari pundit dan penyokong selepas kekalahan kepada Spurs.

Menurut The Mirror, Ed Woodward tidak akan memecat Solksjaer pada kalendar perlawanan antarabangsa yang akan datang, namun pegawai senior di Old Trafford dilaporkan sudah menghubungi Pochettino untuk menjadi pengganti.

Pochettino sebelum ini berjaya menjadikan Spurs sebagai pesaing secara konsisten di dalam pertandingan domestik, dan dua kali menamatkan saingan liga di kedudukan kedua.

Malah pengurus dari Argentina itu turut berjaya membawa Spurs mara ke perlawanan akhir Champions League buat kali pertama dalam sejarah kelab sebelum tidak bernasib baik tewas kepada Liverpool yang memiliki kelebihan selepas mendapat sepakan penalti pada awal minit.

Namun demikian bekas jurulatih Espanyol itu dipecat pada November berikutnya sebelum diganti oleh Jose Mourinho.

Solksjaer tampil sebagai pengganti Mourinho di Old Trafford pada Disember 2018, dan selepas permulaan yang baik sebagai pengurus interim – termasuk menyingkirkan PSG di Champions League – beliau ditawarkan posisi tersebut secara tetap.

Sejak daripada itu, prestasi Manchester United merosot dan gagal layak ke pertandingan tersebut pada musim berikutnya.

Musim lalu United berjaya mengakhiri saingan di kedudukan empat teratas selepas peningkatan prestasi mendadak berikutan ketibaan Bruno Fernandes.

Musim ini Manchester United memulakan saingan dengan kekalahan kepada Crystal Palace di tempat sendiri sebelum menang nasib ke atas Brighton melalui sepakan penalti minit ke-100.

Solksjaer bagaimanapun dipertahankan oleh beberapa pihak lain yang berkata pengurus itu tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada kelab di jendela perpindahan.

Beberapa yang lain pula mengkritik Solksjaer dan menggangap pengurus itu tidak cukup bagus berbanding Pochettino.

Pochettino sebelum ini telah menolak pelbagai tawaran dan adakah dia sebenarnya menanti peluang untuk ke Old Trafford?

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.