Man City Troll Man Utd Selepas Kekalahan Memalukan 6-1 Kepada Spurs

Manchester City tidak segan silu dan sudah pasti bergembira dengan kemenangan 6-1 Tottenham Hotspur ke atas Manchester United.

Manchester United dimalukan di Old Trafford pada perlawanan malam tadi, dan ia hanya kali kedua pasukan merah dari Manchester itu dibolosi lebih dari lima gol sejak 1978.

Sebelum Tottenham melakukannya pada malam tadi, Man City adalah pasukan terakhir yang pernah membelasah Man Utd dengan margin jaringan yang sama pada 2011.

Dan setelah wisel tamat perlawanan di Old Trafford dibunyikan, akaun rasmi Twitter Man City pantas melakukan ulang kicau kemaskini terkini keputusan perlawanan yang dimuat naik oleh Tottenham beserta emoji berjabat tangan.

Man Utd sebenarnya terlebih dahulu berada di hadapan dalam perlawanan in melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Bruno Fernandes.

Sepakan tersebut diberikan selepas Davinson Sanchez dipersalahkan kerana menjatuhkan Anthony Martial pada awal perlawanan.

Pemain tengah dari Portugal, Fernandes seperti kebiasaan menyempurnakan sepakan dengan penuh meyakinkan untuk menewaskan Hugo Lloris.

Namun segalanya berubah hanya dua minit selepas itu setelah Tanguy Ndombele menyamakan kedudukan untuk skuad kendalian Jose Mourinho selepas corak pertahanan lemah yang dipamerkan oleh Eric Bailly dan Harry Maguire.

Tiga minit kemudian Son Heung-min memberikan Tottenham pendahuluan sebelum Harry Kane turut mencetak nama sebagai penjaring selepas setengah jam perlawanan berlangsung.

Keadaan semakin sukar buat Man Utd selepas itu setelah Anthony Martial menerima arahan keluar padang dua minit selepas jaringan Kane.

Skuad Mourinhi kemudiannya terus melebarkan kelebihan apabila Son menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-37 perlawanan untuk Spurs mendahului 4-1 pada babak pertama.

Memasuki minit ke-6 selepas babak kedua perlawanan disambung, Serge Aurier meledak untuk gol kelima dan Harry Kane menambah satu lagi gol peribadi dalam perlawanan ini 10 minit sebelum tamat perlawanan melalui sepakan penalti.

Keputusan perlawanan ini menyebabkan ramai bekas pemain Man Utd kecewa. Pengulas Sky Sports, Patrice Evra misalnya melahirkan rasa terkejut dengan apa yang beliau saksikan dan terus mahu bertindak membatalkan kontrak beliau dengan Sky.

Gary Neville yang melakukan ulasan untuk perlawanan turut tidak mempercayai apa yang beliau saksikan sambil mengkritik barisan pemain yang tidak menunjukkan kesungguhan.

Di luar padang, Man Utd dijangka akan mengumumkan ketibaan dua pemain – Alex Telles dan Edinson Cavani – sebelum jendela perpindahan ditutup pada hari ini.

Musim masih lagi panjang, tetapi Man Utd sudah mengalami kekalahan kedua dari tiga perlawanan dilalui setakat ini. Mampukah Ole Gunnar Solksjaer membangkitkan semangat dan moral pemain untuk kembali berjuang?

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.