Luqman Bercuti Bersama Vincent Tan Di Redang Sebelum Ke Belgium

Baki masa di dalam negara cuba digunakan sebaiknya oleh penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsuddin menenangkan diri dan menolak rasa gemuruh bakal beraksi di Eropah.

Dan beliau tidak bersendirian dalam mempersiapkan diri apabila turut bersama-sama pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan untuk bercuti di Pulau Redang sebelum terbang ke Belgium.

Menurut Tan Sri Vincent Tan yang sempat ditemui wartawan Astro Arena di Redang, Luqman dikehendaki melakukan kuarantin selepas sampai ke Belgium sebagai syarat memasuki negara tersebut berikutan penularan wabak global pada masa ini.

Tempoh masa kuarantin tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk pemain itu belajar bahasa untuk memudahkan Luqman berkomunikasi dengan jurulatih dan rakan sepasukan baharunya di KV Kortrijk nanti.

Untuk tujuan itu, Tan Sri Vincent Tan berkata segala perancangan telah diatur oleh pihak kelab demi memudahkan Luqman belajar bahasa di Belgium nanti.

Bagi Luqman pula, beliau berazam untuk mendapatkan minit perlawanan. Mahu mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama, Luqman sedar ia bukan perkara yang mudah namun bersedia untuk menjawab cabaran tersebut.

Luqman Hakim Shamsuddin menjadi pemain pertama negara yang mendapat kontrak profesional untuk beraksi di divisyen utama liga eropah.

Pemain kelahiran Kota Bharu dan merupakan produk generasi pertama Akademi Mokhtar Dahari itu baru-baru ini menandatangani kontrak selama lima tahun untuk bersama KV Kortrijk.

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.