Lukaku Fasih Bahasa Congo Dan 7 Bahasa Utama Dunia Yang Lain

Romelu Lukaku berjaya menghidupkan kembali kariernya di Inter Milan selepas prestasi serba tidak menjadi bersama Manchester United.

Sehingga kini, beliau telah menjaringkan 33 gol untuk Inter Milan pada musim pertamanya. Hanya Ronaldo Nazario de Lima pernah menjaringkan lebih banyak gol pada musim pertama bersama Inter Milan, dengan rekod 34 gol pada musim pertama di San Siro.

Dan rekod jaringan tersebut masih boleh dipecahkan sekiranya Lukaku mengulangi kemampuannya menjaringkan dua gol sepertimana dalam perlawanan menentang Shaktar Donetsk pada awal pagi tadi.

Namun kebolehan Lukaku sebenarnya tidak hanya terhad dengan aksi di atas padang. Ini kerana penyerang antarabangsa Belgium tersebut turut mempunyai kemahiran menguasai pelbagai bahasa.

Selepas menyertai Inter, Lukaku nekad belajar Bahasa Itali. Selepas hanya dua bulan setengah, beliau sudah mampu melalui sidang media di dalam bahasa tersebut sepenunhnya.

Bahasa sering kali menjadi batu penghalang kepada pemain yang berkelana ke luar negara – tetapi jelas sekali ia bukan masalah untuk Lukaku.

Menurut ESPN, pemain berusia 26 tahun ini membesar dengan bercakap Bahasa Perancis di rumah dan juga Bahasa Flemish (dituturkan di Belanda Selatan).

Dan tahukah anda Lukaku juga boleh berkomunikasi dengan saudaranya dari Congo yang menetap di Lingala dengan Bahasa Bantu.

Bahasa Inggeris, Sepanyol, Portugis dan Jerman juga adalah antara bahasa yang dikuasai sepenuhnya oleh Lukaku walaupun tidak pernah beraksi di Portugal atau pun Jerman sebelum ini

Malah Lukaku mengejutkan wartawan dalam sidang media sebelum ini dengan bertutur dalam Bahasa Portugis selepas membanti Belgium menewaskan Brazil di Piala Dunia yang lalu.

Ejen Lukaku sebelum ini pernah menjelaskan pemain itu tidak mempunyai masalah beraksi di mana-mana sahaja di Eropah, sebelum memilih untuk ke Itali selepas meninggalkan England.

Lukaku bolehlah dianggap sebagai pemain yang mempunyai kepintaran tinggi. Sesiapa sahaja kebiasaannya akan bergelut menguasai bahasa kedua.

Sergio Aguero misalnya masih bergumul menjawab soalan wartawan dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Begitu juga Gareth Bale yang sering dikritik kerana gagal berkomunikasi dengan berkesan sejak menyertai Real Madrid.

Tetapi kebolehan Lukaku menguasai sehingga lapan bahasa adalah satu perkara yang luar biasa.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.