Lukaku Beri Amaran Supaya Man Utd Tidak Beli Penyerang

Bekas penyerang Manchester United, Romelu Lukaku berkata Ole Gunnar Solksjaer sebenarnya tidak memerlukan pemain penyerang lain untuk menerajui jentera serangan di Old Trafford.

Lukaku kini yang beraksi bersama Inter Milan turut memberi amaran sebarang cubaan membawa seorang penyerang baharu ke dalam pasukan hanya akan merosakkan ‘chemistry’ atau gandingan Anthony Martial dan Mason Greenwood yang sudah pun terbentuk bersama rakan-rakan sepasukan yang lain.

Setakat ini Man Utd hanya membelanjakan £35 juta untuk pemain tengah Ajax, Donny Van de Beek, walaupun dikaitkan dengan sedozen pemain dari seluruh benua.

Semua pihak juga mengetahui bagaimana minat Man Utd terhadap Jadon Sancho, selain nama-nama lain seperti Alex Telles, Ousmane Dembele, Saul Niguez dan Dayot Upamecano turut dikatakan sebagai pemain yang berpotensi untuk dipancing ke Old Trafford.

Ole Gunnar Solksjaer turut dikatakan berminat untuk mendapatkan seorang No.9, dengan bekas penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani dan penyerang Real Madrid, Luka Jovic dilaporkan antara nama dalam pertimbangan menjelang tarikh tutup jendela perpindahan pada Isnin hadapan.

Man Utd turut dikaitkan dengan Harry kane pada awal musim, walaupun pada ketika Martial dan Greenwood sedang berada di dalam prestasi baik.

Martial merekodkan jumlah jaringan tertinggi sepanjang kariernya pada musim lalu dengan 23 gol, manakala Greenwood turut menghasilkan 17 gol pada musim penuh pertamanya di dalam skuad utama.

Walaupun sudah tidak bersama lagi, Lukaku percaya bekas rakan sepasukannya itu mampu mengekalkan prestasi tersebut pada musim baru ini, dan turut menasihatkan Solksjaer untuk tidak membawa masuk penyerang baharu untuk tidak menjejaskan keharmonian di dalam skuad sedia ada.

“Jika anda membeli penyerang baharu, apa anda mahu Anthony [Martial] lakukan?” kata Lukaku kepada The Times.

“Dia bukan No.9 yang hebat di sebuah kelab yang hebat. Tetapi berikan beliau satu musim penuh untuk membuktikan apa yang beliau lakukan pada musim lalu daripada membawa masuk pemain lain yang akan menganggu chemistry dan hubungan di dalam bilik persalinan.

“Kemudian anda juga mempunyai Mason di dalam transisi yang akan menjadi dari sayap kanan kepada No.9. Dan Mason adalah seorang pembunuh. Saya sendiri pernah menyaksikan dia di hadapan mata. Saya tahu dia miliki sesuatu.”

Greenwood dan Martial dijangka sekali lagi akan digandingkan untuk Man Utd dalam aksi menentang Tottenham Hotspur di Old Trafford pada Ahad ini.

Skuad kendalian Solksjaer tewas kepada Crystal Palace pada perlawanan pembukaan sebelum bergelut untuk menang menentang Brighton.

Perlawanan pada Ahad ini dijangka akan menjadi satu lagi perlawanan getir buat Man Utd yang akan berhadapan Spurs bimbingan bekas pengurus, Jose Mourinho.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.