Luahan Hati Seorang Penyokong Liverpool Dari Lubuk Hati Terdalam

Dari kalangan pasukan yang pernah digelar ‘Big Six’, Liverpool boleh dianggap paling sunyi di jendela perpindahan musim panas 2020?

Mengapa? Kenapa? Adakah Liverpool terlalu yakin akan kekuatan skuad sedia ada untuk mempertahankan kejuaraan yang telah mereka menangi sebelum ini?

Sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) akan bermula pada 19 September akan datang. Boleh dikatakan bakal pencabar-pencabar kelab Merseyside itu sedang giat di jendela perpindahan.

Chelsea paling aktif kali ini. Timo Werner, Hakim Ziyech, Thiago Silva dan Ben Chilwell bakal memperkuatkan cabaran skuad kendalian Frank Lampard pada musim hadapan, dan Kai Havertz turut dijangka akan menyusul.

Mikel Arteta di Arsenal turut tidak ketinggalan apabila mengesahkan ketibaan pemain seperti Willian, Pablo Mari dan Cedric Soares.

Pencabar terdekat Liverpool sejak beberapa musim lalu, Manchester City turut memperkuatkan pasukan dengan pembelian Ferran Torres, Nathan Ake dan Pablo Moreno.

Malah Manchester United yang dilihat paling merudum sejak beberapa musim lalu telah mendatangkan pemain tengah Ajax, Donny Van De Beek.

Bakal digandingkan dengan Paul Pogba dan Bruno Fernandes, secara tiba-tiba skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer ini mampu dilihat sebagai pencabar pada musim hadapan sekiranya mampu menyelesaikan masalah konsistensi di bahagian pertahanan.

Bagaimana dengan Liverpool. Seperti Manchester United, Liverpool juga telah membawa seorang pemain setakat ini, iaitu bek kiri Olympiacos, Kostas Tsimikas.

Hakikatnya untuk kelab sebesar Liverpool dengan reputasi hebatnya, Tsimikas bukanlah pemain yang diharapkan oleh penyokong.

Manakala khabar angin ketibaan Thiago Alcantara pula sekadar berita penghias pelaku akhbar setakat ini – tanpa ada sebarang pergerakan.

Alcantara berkata berminat untuk datang ke Anfield, dan Klopp juga berminat untuk mendapatkan pemain ini. Begitu juga kisahnya dengan Timo Werner sebelum ini sebelum tiba-tiba menyertai Chelsea.

Apa pula pandangan Klopp? Dari pandangan dan perspektif Klopp, penulis melihat kepada dua perkara.

Pertama. Setelah berjaya membantu Liverpool merangkul hampir semua kejuaraan utama yang dipertandingkan, adakah pengurus dari Jerman ini masih lapar akan kejayaan.

Anda semua pasti tidak lupa bagaimana Klopp berkata akan berehat dan tidak akan menyambung kontraknya yang akan tamat 4 tahun hadapan.

Pahit tapi pedih. Hakikatnya jika dibandingkan dengan Sir Alex Ferguson yang ramai kita benci dan kagumi dalam diam, pengendali dari Scotland itu tidak pernah kenyang dengan deretan trofi yang dimenangi, sehinggalah beliau bersara pada 2013.

Adakah kenyataan Klopp bermakna Liverpool tidak akan mampu membina dinasti sendiri seperti mana yang pernah dibina oleh Manchester United selama hampir tiga dekad? Jangan nafikan.

Kita cemburu melihat rakan penyokong Manchester United kita meraikan kejayaan demi kejayaan ibarat tidak pernah kering pada ketika itu.

Perkara kedua. Klopp sebenarnya yakin dengan skuad sedia ada. Izinkan penulis ambil kata-kata Klopp baru-baru ini.

“Mereka semakin compact. Itu adalah perkara bagus di pra musim.

“Saya fikir falsafah di kelab ini cukup jelas dan Liverpool sentiasa melakukan perkara yang sama. Kita akan melihat berapa jauh kemampuan kita, atau berapa sejauh mana yang kita inginkan, belanjakan, dan segala macam perkara lain.”

Pendek kata Klopp masih yakin dengan kemampuan pemain sedia ada, yang juga bermakna Liverpool tidak perlu berbelanja besar untuk memastikan kejayaan.

Keyakinan seharusnya terus disandarkan kepada Michael Edwards dan pasukannya dalam membawa pemain yang sesuai dengan DNA Liverpool, tanpa perlu berbelanja mewah seperti pasukan lain.

Walaupun dengan semua keyakinan yang ada, tidak ada diantara kita mampu meramal apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Apatah lagi jendela perpindahan di Eropah akan terus dibuka sehingga 6 Oktober lalu.

Apa yang dikatakan oleh Klopp dengan mengingatkan kita akan falsafah kelab ada benarnya. Tetapi ia juga mungkin ada ketidakbenarannya.

Dan jika itulah falsafah yang terus dipegang, maka ia akan menjadi sukar sekali untuk Liverpool mengulangi prestasi dua musim yang penuh gemilang. Apatah lagi pada era bola sepak moden ini.

Ingat. Pada dua musim terakhir itu Liverpool turut mendatangkan dua pemain termahal dunia di posisi masing-masing (pada ketika itu), iaitu Virgil Van Dijk pada harga 85 juta euro dan Alisson Becker dengan nilai 72 juta euro.

Hasilnya memang sangat setimpal. The Reds mampu menggondol trofi Champions Leagie di musim 2018-2019 dan gelaran Liga Perdana Inggeris 2019-2020 dengan sangat meyakinkan.

Sehingga itu, biarlah kegagalan meraih Perisai Komuniti buat dua musim berturut-turut biarlah diharap menjadi pengajaran buat kita semua.

 

Nota editor: Artikel ini adalah kiriman seorang penyokong setia Liverpool yang enggan dinamakan dan kecewa dengan cara kelabnya berurusan di jendela perpindahan kali ini yang mungkin membawa padah.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.