Liverpool Sedia Pancing Seorang Lagi Pemain Bayern Munich Januari Nanti

Liverpool dilaporkan sedang mengintai pemain pertahanan Bayern Munich, David Alaba untuk dibawa masuk pada jendela perpindahan Januari hadapan.

Alaba bukan sahaja menarik perhatian daripada Liverpool. Malah Juventus turut dikatakan mengikuti rapat perkembangan pemain ini yang akan menjadi ejen bebas pada musim panas akan datang.

Liverpool mengalami krisis kecederaan selepas hilang khidmat pemain pertahanan terbaik dunia, Virgil van Dijk selepas diterjah keras oleh Jordan Pickford dalam perlawanan derbi Merseyside.

Untuk mengelakkan saingan daripada jaguh Serie A itu, Liverpool dilaporkan bersedia untuk menyediakan pra kontrak yang akan diserahkan pada Januari hadapan untuk menjamin tandatangan dari Alaba.

Ia adalah kaedah sama ketika Liverpool mendapatkan Thiago Alcantara dengan nilai £20 juta.

Laporan dari Jerman dan UK mengatakan Alaba boleh menyertai Liverpool pada Januari jika sanggup membayar £30 juta kepada Bayern Munich.

Menurut BILD, pemain itu kini menerima bayaran sekitar £150,000 seminggu di Jerman, dan telah ditawarkan kenaikan kepada £200,000.

Laporan itu bagaimanapun berkata Alaba tidak merasakan sumbangannya untuk kelab selama ini dihargai oleh Bayern Munich.

Alaba sudah pun bersama juara Bundesliga itu sejak 2008 selepas dipromosikan dari akademi bola sepak Bayern Munich sendiri.

Sepanjang 12 tahun yang dianggap amat berjaya, Alaba telah membantu Bayern Munich merangkul sembilan kejuaraan liga, enam kejuaraan Piala Jerman, dan dua kejuaraan Champions League.

Pada masa yang sama Liverpool akan beraksi tanpa Virgil van Dijk untuk keseluruhan musim selepas disahkan mengalami kecederaan ACL.

Fabibho yang dicanang sebagai pengganti pemain pertahanan terbaik dunia turut mengalami kecederaan baru-baru ini ketika menentang kelab kerdil, Midtjylland di pertandingan Champions League pada Selasa lalu.

Ia dipercayai kecederaan harmstring. Namun selepas imbasan dilakukan, kecederaan yang kebiasannya pulih selepas 8-12 minggu tidak seteruk seperti disangka.

Jika Liverpool berjaya mendapatkan Alaba pada Januari, ini bermakna mereka tidak perlu risaukan kekurangan pemain pertahanan di posisi itu setelah turut menjual bintang tersohor Croatia, Dejan Lovren kepada Zenit St. Petersburg pada Jun lalu.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.