Liverpool Mahu Lepaskan Salah Kerana Beliau Tidak Gembira Di Anfield

Mohamed Salah bakal meninggalkan Liverpool, dengan kelab dilaporkan terbuka untuk menjual bintang mereka yang sedang tidak gembira itu.

Hal tersebut telah disampaikan oleh sahabat karib Mo Salah sendiri dengan menyatakan bahawa The Reds akan menjual sahabatnya.

Terdapat beberapa rumours dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini yang menyatakan Salah akan meninggalkan Anfield.

Real Madrid dan Barcelona antara pasukan yang sanggup mengeluarkan dana besar untuk mendapatkan khidmat dari pemain kebangsaan Mesir itu.

Namun ianya hanya sekadar rumours dan sama sekali tidak pernah menjadi kenyataan.

Walau bagaimanapun, awal minggu lalu, Salah seolah menambah api ke atas berita perpindahan beliau selepas beliau tidak menolak untuk meninggalkan Liverpool dalam satu temu bual bersama AS.

Kini, sahabat dan bekas rakan sepasukannya di Mesir, Mohamed Aboutrika telah mendakwa bahawa beliau percaya bekas pemain Roma itu sebenarnya tidak gembira berada di Anfield.

“Saya hubungi Salah untuk bertanya tentang situasinya bersama Liverpool, dan dia kelihatan kecewa, tapi itu semua tidak akan menjejaskan aksi dan persembahan beliau di atas padang.”

Jelas Aboutrika kepada beIN Sport.

“Saya tahu Salah tidak gembira bersama Liverpool, dia sudah beritahu saya apa sebabnya dan mengapa beliau tidak gembira, tetapi ianya rahsia dan saya tidak boleh dedahkan secara umum begini.”

“Salah satu alasan yang membuatkan Salah kecewa dan marah adalah kerana beliau tidak dilantik sebagai ketua pasukan ketika pertemuan menentang Midtjylland.”

Bercakap tentang pihak kelab yang mahu melepaskan pemain berusia 28 tahun itu, Aboutrika yang kali terakhir bermain bersama skuad kebangsaannya pada tahun 2013 menyatakan:

“Seandainya Salah bermain bersama Real Madrid atau Barcelona, dan bermain di tahap sama seperti bersama Liverpool, dia sudah tentu memenangi Ballon d’or, dan ianya satu hal yang biasa untuk media Sepanyol bertanya kepada Salah tentang Real Madrid dan Barcelona.”

“Pada pandangan saya, Liverpool kini sedang mempertimbangkan untuk menjual Mo Salah atas tujuan ekonomi.”

“Saya sama sekali tidak mempengaruhi keputusan Salah, dia kawan dan saudara saya, dan dia sudah cukup bijak untuk tahu apa yang terbaiknya untuknya.”

Dalam temu bual beliau bersama AS, Salah turut mengakui bahawa beliau tidak gembira kerana dirinya tidak dilantik sebagai ketua pasukan ketika perlawanan bertemu Midtjylland.

Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson dan naib ketua pasukan, James Milner kedua-duanya tidak dapat beraksi ketika itu.

Selain dari Liverpool sudah pasti untuk layak. Salah juga turun beraksi selama 90 minit perlawanan sebagai pemain paling berpengalaman yang diturunkan dalam kesebelasan utama ketika itu.

Walau bagaimanapun, Jurgen Klopp ketika itu telah memutuskan untuk melantik Trent Alexander Arnold sebagai ketua pasukan berbanding Salah.

Bekas pemain Chelsea itu telah diletakkan di bangku simpanan ketika aksi bertemu Crystal Palace selepas dari sesi temu bual itu.

Kemungkinan juga beliau dimasukkan sebagai pemain simpanan kerana Klopp mahu memastikan tahap kecergasan terbaik untuk anak-anak buahnya dengan jadual perlawanan yang padat.

Walau masuk sebagai pemain gantian, Mo Salah cemerlang menjaringkan dua gol dan mencatatkan satu assists dalam membantu Liverpool membenam Palace 7-0.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.