Liverpool Kena Hukum Lagi, Kali Ini Berdepan Hukuman Daripada UEFA

Minggu yang sibuk di bahagian akaun pasukan Liverpool, apabila mereka didenda lagi. Ini merupakan denda kedua yang Liverpool dapat dalam tempoh kurang 72 jam.

Ini berita yang pastinya menyedihkan para peminat Liverpool di seluruh dunia, apabila mendengar juara Eropah didenda sekali lagi.

Beberapa hari lalu, Liverpool didenda £200,000 kerana kes menurunkan pemain tak sah, di mana mereka menurunkan Pedro Chirivella ketika Piala Carabao menentang MK Dons. Pemain yang masih belum selesaikan sijil perpindahan antarabangsa.

Sebentar tadi, Liverpool dihukum lagi, kali ini, kerana kes penceroboh padang ketika perlawanan UCL di antara Liverpool dan RB Salzburg di Anfield pada malam Rabu lalu.

Liverpool dikenakan hukuman oleh UEFA kerana seorang penyokong telah memasuki padang dan berjaya ditangkap oleh pegawai keselamatan yang bertugas.

Tidak cukup dengan itu, beberapa orang lagi penyokong remaja, menceroboh padang selepas wisel penamat. Jurukamera sempat merakam gambar Andy Robertson memberikan jersi beliau kepada salah seorang daripada penceroboh padang tersebut.

Selain itu, RB Salzburg turut dikenakan tindakan kerana ada penyokong mereka yang membaling objek ke dalam padang.

Liverpool menang 4-3 dalam aksi yang penuh dramatik. The Reds mendahului 3-0. Namun dikejar oleh RB Salzburg sehingga menjadi 3-3.

Liverpool menarik nafas lega apabila Mohamed Salah menjaringkan gol kemenangan untuk pasukannya.

UEFA akan membawa kes menceroboh padang ini ke mesyuarat tatatertib mereka pada 17 Oktober ini.

Liverpool bakal dikenakan denda sekitar €5,000 untuk kesalahan pertama ini. Diharap Liverpool memperbaiki perkara ini dan tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.