Liverpool Dilaporkan Berminat Mendapatkan Coutinho Kembali

Pasukan paling hebat di muka bumi ini, Liverpool dikatakan berminat untuk mendapatkan Philippe Coutinho dan merujuk kembali dengan janda lama mereka untuk kembali meraih bahagia.

Kebahagian dan kemewahan yang dicari Coutinho untuk bersama Barcelona tidak seperti yang dibayangkan apabila kemewahan hadir tanpa satu kebahagian yang didambakan semua.

Selepas setahuh setengah bersama kelab Catalan itu, Coutinho yang hanya menjaringkan 21 gol sahaja dalam 76 perlawanan dan tidak konsisten ketika beraksi.

Januari 2018, Liverpool akhirnya menerima tawaran dari Barcelona berjumlah £142 juta untuk mendapatkan khidmat Philippe Coutinho selepas pelbagai drama sakit belakang disajikan.

Tawaran yang diterima Liverpool itu adalah jumlah tertinggi yang pernah diterima dalam sejarah kelab dari British, dan juga tawaran tertinggi yang pernah dilakukan kelab dari Sepanyol.

Nilai perpindahan Coutinho ke Barcelona adalah nilai ke-3 tertinggi dalam sejarah bolasepak dunia, di belakang Neymar (£197 juta) dan Kylian Mbappe (£160 juta).

Coutinho dilaporkan telah menandatangani kontrak 5 tahun setengah dengan yuran perpindahan setinggi £142 juta dan klausa pelepasan berjumlah €400 juta disertakanan dalam kontraknya.

Khidmat Coutinho bersama Barcelona nyata tidak lagi diperlukan lalu dipinjamkan ke Bayern Munich dengan pilihan boleh pembelian tetap pada harga €100 juta.

https://twitter.com/BPLAfrica_/status/1226805270350835714

Di bumi Jerman menyaksikan sekali lagi Coutinho mengecewakan apabila hanya menjaringkan tujuh gol dalam 27 penampilan dan tidak lagi menjadi nadi perlawanan.

Bayern Munich sudah memberi kata putus tidak akan membayar jumlah wang begitu tinggi untuk pemain seperti Coutinho. Tak berbaloi.

Mundo Deportivo telah melaporkan Barcelona sanggup menurunkan harga sehingga €80m-€90m(£68m-£76m) kepada pasukan yang berminat.

Ekoran penurunan harga itu maka telah bertiup khabar angin bahawa klopp kembali berminat mendapatkan Coutinho seperti yang dilaporkan oleh Daily Express.

Menurut Daily Express lagi selain Liverpool, Manchester United dan Chelsea dikatakan berminat dengan pemain Brazil itu.

Ketika ini Liverpool mampu untuk membayar harga tersebut tetapi seperti Bayern Munich fikirkan, berbaloikah? Dengan apa dilakukan Coutinho sukar untuk beliau kembali.

Coutinho menyertai Liverpool dari Inter Milan pada tahun 2013, dan menyarung jersi kelab tersebut selama 5 tahun sebelum membuat keputusan untuk menyertai Barcelona pada Januari 2018.

Coutinho ketika hampir enam musim bersama Liverpool telah mempamerkan aksi yang membanggakan dengan menjaringkan 54 gol dalam 201 perlawanan.

Cara Coutinho meninggalkan Liverpool mengguris hati peminat di mana beliau telah menolak untuk beraksi dan sedaya-upaya meyakinkan Liverpool supaya menjual beliau.

Tanpa Coutinho Liverpool agak bergelut namun perkara ini dapat diatasi dengan kecemerlangan Mohamed Salah dan kekebalan Virgil van Dijk pada ketika itu.

Klopp Anggap Kepulangan Coutinho Ke Liverpool Tidak Akan Berlaku

Selepas pemergian Coutinho Klopp telah mengakui bahawa beliau tidak menyangka Liverpool mampu bermain dengan lebih baik tanpa Coutinho.

“Ya, kami sangat merindui Coutinho kerana beliau adalah pemain berkelas dunia dan saya suka bekerjasama dengan beliau.”

“Tetapi kami perlu mencari cara untuk bermain tanpa beliau, dan kami melakukannya dengan cukup baik sekali.”

“Apabila kali pertama saya mendengar Coutinho ingin berpindah ke Barcelona, saya tidak pernah menyangka kami mampu menjadi sebagus sekarang, tanpa Coutinho disisi. Tetapi kami berjaya melakukannya, dan segalanya berjalan dengan baik sekali untuk kedua-dua pasukan.”

Pada awal tahun 2019, Klopp menafikan khabar angin yang mengatakan bekas pemain, Philippe Coutinho tidak akan pulang ke pangkuan Liverpool walaupun baru setahun beraksi dengan Barcelona.

Klopp telah berkata Liverpool tidak akan cuba mendapatkan Coutinho buat masa sekarang.

“Ia merupakan perkara yang saya tidak mahu berbicara. Saya tidak akan kata ia sebagai perpindahan potensi buat kami.”

“Tiada apa yang boleh dicakapkan. Apa sahaya yang saya cakap akan membuka lebih banyak cerita tetapi sebenarnya tiada sebarang cerita pon.”

“Coutinho sekarang berada di Barcelona dan dari apa yang saya tahu, beliau menyesuaikan diri dengan baik di sana dan segalanya berjalan dengan baik.”

Ince: Kehilangan Coutinho Merupakan Perkara Terbaik

Legenda Liverpool, Paul Ince percaya kehilangan khidmat Philippe Coutinho yang berpindah ke Barcelona tidak begitu dirasai Liverpool sambil menyifatkan ia sebagai perkara terbaik yang boleh terjadi kepada kelab tersebut.

“Ramai menyangka Liverpool akan bergelut selepas pemergian Coutinho ke Barcelona. Saya tidak tahu sama ada Klopp berkongsi pendapat yang sama dengan saya.”

“Tetapi saya berpendapat kehilangan Coutinho merupakan perkara terbaik yang mampu berlaku kepada Liverpool kerana mereka terlalu bergantung kepada Coutinho sebelum ini. Semua orang bercakap mengenai Coutinho sahaja.”

“Sebaik sahaja Coutinho meninggalkan Liverpool, masanya tiba untuk pemain lain mengisi peranan yang ditinggalkan oleh Coutinho. Pasukan ini bukan mengenai seorang pemain sahaja seperti yang didakwa banyak pihak.”

Dengan kenyataan Klopp yang menyatakan tidak mungkin Coutinho kembali dan Paul Ince menyifatkan pemergian Coutinho satu perkara terbaik, adakah Klopp akan memuat pusingan U?

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.