“Liverpool Bermain Lebih Bagus Tanpa Salah Dan Beliau Perlu Dijual”

Jurgen Klopp disarankan untuk menjual saja Mohamed Salah pada jendela perpindahan musim panas nanti kerana Liverpool dilihat bermain lebih bagus tanpa bintang Mesir itu.

Salah berjaya menjaringkan 22 gol dalam aksi saingan premier league musim ini, dan meletakkan beliau dikedudukan kedua sebagai penjaring terbanyak di belakang Harry Kane.

Sadio Mane pula merupakan penjaring kedua terbanyak Liverpool musim ini selepas beliau berjaya mencipta 11 jaringan dalam aksi saingan liga musim ini.

Ia jelas membuktikan bahawa Salah telah memikul skuad Liverpool di bahunya dengan beliau berjaya membawa skuad kendalian Jurgen Klopp itu untuk mara ke saingan liga Juara-juara musim hadapan.

Walau beliau sudah menyumbang begitu banyak jaringan untuk membantu Liverpool mengakhiri saingan liga di kedudukan ketiga, masih ada pihak yang mencadangkan kepada Klopp untuk menjualnya.

Bekas penjaga gol Liverpool, David James menggesa Jurgen Klopp untuk menjual Mo Salah pada musim panas ini untuk mendapatkan dana tambahan supaya boleh menandatangani pemain lain.

Beliau turut membuat dakwaan yang menyatakan bahawa Liverpool sebenarnya bermain dengan lebih baik tanpa penyerang utama mereka itu.

“Cadangan untuk mereka mengeluarkan belanja berjuta-juta sepertinya tidak akan berlaku, saya rasa mereka perlu melepaskan pemain keluar.”

Jelas James kepada Stadium Astro.

“Di mata saya, dia mungkin berada di kedudukan kedua dalam perebutan kasut emas, tapi saya rasa Liverpool bermain dengan lebih baik tanpa Salah.”

“Dan ini kesempatan untuk Liverpool memanfaatkan Salah, Jota semula jadinya beliau sesuai untuk bermain di bahagian front three, Firmino pula akan mendapat lebih banyak peluang untuk bergerak, dan Liverpool bakal mempunyai dinamik baru di bahagian depan berbanding terlalu bergantung kepada Salah.”

Selain dari Sadio Mane yang sudah menjaringkan 11 gol, Roberto Firmino dan Diogo Jota juga telah berjaya menjaringkan sembilan gol dalam aksi saingan liga musim ini.

Firmino mencatatkan sembilan jaringan itu dari 33 penampilannya sebagai kesebelasan utama bersama The Reds, sementara Jota pula hanya membuat 12 penampilan sahaja sebagai pemula.

Ketika James ditanya tentang bila waktu paling sesuai untuk Liverpool menjual bintang mereka yang sudah menjaringkan 125 gol dari 203 penampilan itu, beliau memberi jawapan dengan membandingkan situasi Sergio Aguero bersama Manchester City.

“Saya rasa lakukannya sekarang. Ini bukan kerana Mo Salah tidak menjadi pemain yang bagus, rekod jaringan dia sudah cukup untuk membuktikannya.”

“Statistik yang sama seperti Aguero yang mana Pep Guardiola melihat Man City tidak memerlukan Aguero. Saya rasa Jurgen Klopp dan cara bagaimana dia telah kembangkan kelab ini, Salah telah menjadi lebih menonjol berbanding front three yang lain sejak musim sebelum ini.”

“Saya rasa kelancaran Liverpool telah dikompromi oleh Salah, walaupun dia berjaya menjaringkan gol. Tottenham satu lagi, penjaring gol terbanyak tapi cenderung untuk tidak memenangi liga. Saya rasa mereka boleh memanfaatkan Salah dan menghasilkan pasukan yang lebih kuat.”

Ia bukanlah kali pertama bekas bintang Liverpool memberikan pandangan negatif mereka ke atas Mo Salah, dengan Michael Owen sendiri juga sebelum ini pernah mengkritik pemain kebangsaan Mesir itu.

Michael Owen secara terbukanya menyatakan bahawa kedua-dua Salah dan Mane bukanlah penyerang yang mempunyai penyudah semula jadi.

Salah sebelum ini telah dikaitkan dengan bakal meninggalkan Anfield dan beliau sendiri sama sekali tidak goyang untuk mencetuskan kontroversi berkait perpindahannya.

Pemain berusia 28 tahun itu telah memberi gambaran bahawa beliau sedang mengintai peluang untuk menyertai pasukan seperti Real Madrid atau Barcelona.

Tidak kira apa yang dicadang atau difikirkan oleh James, para peminat Liverpool tentunya tidak sanggup untuk melihat pemain terbaik mereka itu meninggalkan kelab.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.