Lionel Messi Memutuskan Untuk Kekal Bersama Barcelona

Lionel Messi sudah bersedia untuk menandatangani perjanjian baru bersama Barcelona, dengan laporan terbaru menyatakan bahawa beliau sudah memutuskan untuk kekal.

Messi pada tahun lalu telah menyatakan bahawa beliau mahu meninggalkan Nou Camp dan dengan kontraknya bersama Barca akan berakhir pada penghujung musim ini, ramai yang beranggapan beliau akan pergi.

Beliau sering dikaitkan dengan bakal menyertai Manchester City dan PSG, namun pada pertengahan musim ini, terdapat banyak cakap-cakap belakang yang menyatakan bahawa beliau akan kekal di Nou Camp dan tidak akan sertai mana-mana pasukan lain.

Berita itu bagaimanapun telah disahkan oleh wartawan beIN Sports, Achraf Ben Ayad yang membuat dakwaan bahawa pemain berusia 32 tahun itu sudah membuat keputusan berkait masa depannya.

β€œLionel Messi sudah memutuskan untuk kekal bersama Barcelona. Hubungan beliau dengan kelab Catalan itu akan diteruskan.”

Tulis Ben Ayad di laman twitter miliknya.

Messi benar-benar nekad untuk meninggalkan kelab sejak dari kekalahan 8-2 Barcelona di tangan Bayern Munich dalam aksi saingan liga Juara-Juara musim lalu.

Kekalahan yang memalukan itu menyebabkan Messi secara terang-terangan mendedahkan hasratnya untuk meninggalkan Nou Camp.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu percaya beliau boleh menamatkan kontraknya pada penghujung musim lalu mengikut perjanjiannya bersama kelab.

Walau bagaimanapun, La Liga tampil untuk menjernihkan keadaan dengan menolak permohonan Messi dan menganggap perjanjian tersebut tidak sah kerana tertangguhnya saingan Liga ekoran dari penularan wabak pandemik pada musim lalu.

Messi dilaporkan bersetuju untuk kekal selama satu musim lagi dan bakal meninggalkan Barca pada penghujung musim ini secara percuma.

Ia kerana kontrak beliau bersama kelab akan berakhir pada penghujung musim ini dan kerana itu Messi memilih untuk keluar sebagai pemain berstatus bebas ejen.

Walau bagaimanapun, dalam tempoh semusim ini, Barcelona telah menunjukkan peningkatan dari segi pengurusan mereka dan ia membuat Messi berubah fikiran.

Joan Laporta memenangi sesi pemilihan Presiden kelab dan beliau sepertinya telah banyak membantu dalam mengubah pemikiran penjaring terbanyak sepanjang zaman Barca itu.

Laporta juga berjaya menandatangani Sergio Aguero dan dijangka bintang Argentina itu akan bergandingan dengan Messi pada musim baharu nanti.

Barca gagal memenangi sebarang kejuaraan pada musim lalu dan ia merupakan kali pertama mereka mengakhiri satu musim itu dengan tangan kosong.

Mereka juga gagal untuk menandatangani semula bintang Paris Saint Germain, Neymar pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Messi turut bengang dengan pimpinan kelab kerana melepaskan Luis Suarez kepada Atletico pada musim panas lalu dengan beliau secara terbuka menghentam keputusan kelab.

Lebih teruk lagi, Suarez ketika ini berjaya membantu Atletico Madrid untuk menjuarai saingan La Liga, sementara Barca sendiri hanya mengakhiri musim ini di kedudukan ketiga sahaja.

Keadaan semakin teruk pada awal musim lalu dek kerana kontroversi yang telah dicetuskan oleh bekas Presiden kelab, Josip Maria Bartomeu.

Bekas Presiden kelab itu telah mengundurkan diri pada awal tahun lalu dan tempatnya telah digantikan oleh Laporta.

Sementara Ronald Koeman bersama anak-anak buahnya pula terus berusaha mengubah segala yang mereka mampu untuk mendapatkan keputusan yang baik di padang.

Barcelona berjaya memenangi Copa del Rey dan Ronald Koeman turut memberi nafas baru kepada skuad Barca dengan menurunkan pemain muda dalam kesebelasan utamanya.

Barca sememangnya memerlukan pemain seperti Messi untuk membantu mereka menghadapi musim baharu nanti dengan lebih baik.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.