Lionel Messi Kemarau Selepas 40 Percubaan Tanpa Gol

Selepas dilanda saga perpindahan yang mengejutkan dunia bola sepak pada musim panas lalu, Lionel Messi kini seperti sudah hilang sengat dan tidak prolifik seperti mana sebelumnya.

Sehingga kini pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak enam kali itu telah menjaringkan empat gol dalam semua pertandingan.

Tetapi semua gol tersebut datangnya dari sepakan penalti – tiga dari Champions League, dan satu dari La Liga.

 

Messi juga kali ini kelihatan lebih kerap terlepas dan membazir peluang yang terhidang hasil dari permainan terbuka.

Statistik menunjukkan Messi telah melakukan 40 percubaan, bersamaan dengan purata 4.6 percubaan untuk setiap perlawanan namun gagal memanfaatkannya.

Messi yang kita kenali sebelum ini kebiasaannya akan menghukum lawan yang melakukan kesilapan, dan keadaan semasa ini pasti perkara yang membimbangkan bintang Argentina ini.

Sebagai perbandingan, pemain seperti Aaron Wan-Bissaka (Manchester United) dan Mats Hummels (Borussia Dortmund) mempunyai jumlah gol dari permainan terbuka lebih banyak dari Messi.

Dianggap sebagai jentera pembunuh paling bahaya sejak sedekad lalu, musim ini Messi turut berhadapan dengan penjaga gol yang berjaya menampilkan aksi tangkas setiap kali perlawanan berhadapan Barcelona.

Penjaga gol Deportivo Alaves, Fernando Pacheco Flores misalnya amat kebal ketika aksi mengikat Barcelona 1-1 pada hujung minggu lalu.

Dynamo Kiev dengan penjaga gol berusia 18 tahun, Ruslan Neshcheret pula merekodkan 12 percubaan diselamatkan, termasuk sepakan percuma trademark oleh Messi yang kebiasaannya menerjah jaring.

Kapten Barcelona itu turut dikritik kerana sikapnya yang dianggap pemalas dalam perlawanan menentang Dynamo Kiev.

Terdapat satu rakaman yang memperlihatkan Messi sekadar berjalan di tengah padang sambil memerhatikan pemain pertahanan Kiev membawa bola.

Beliau jelas tidak melakukan sebarang usaha untuk menekan atau pergi ke arah pemain pertahanan Kiev itu sebaliknya hanya memperhatikan saja pemain lawan membawa bola melepasinya.

Walau insiden tersebut berlaku ketika perlawanan sudah hampir tamat, ianya bukanlah satu aksi yang harus dipamerkan oleh Messi selepas apa yang telah terjadi sejak Ronald Koeman mula mengurus kelab.

Messi pada jendela perpindahan musim panas lalu sangat lantang menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan kelab sebelum akhirnya bersetuju untuk kekal selama satu musim lagi.

Aksinya mengundang kecaman dari pelbagai pihak yang menganggap bahawa pemenang enam kali gelaran ballon d’or itu sudah tidak mempunyai jiwa dan hati untuk bermain bersama Barcelona lagi.

Adakah benar Messi sekadar melepas batuk di tangga ketika menyarung jersi Barcelona itu sehingga kontraknya tamat?

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.