Lionel Messi Dilayangkan Kad Merah Pertama Dalam Kariernya Bersama Barcelona

Lionel Messi telah dilayangkan kad merah selepas VAR mengesan tindakan beliau menumbuk pemain Bilbao ketika kekalahan Barcelona dalam perlawanan akhir Spanish Super Cup.

Messi jelas dilihat menumbuk Asier Villalibre dari belakang dan ketika itu bola sudah tidak bersama mereka lagi.

Kedua-dua pemain itu telah bergelut lebih awal lagi dan Messi mungkin sudah hilang sabar lalu terus menghayun penumbuk yang tepat mengenai belakang kepala Villalibre.

Pengadil perlawanan kemudiannya merujuk ke VAR dan terus melayangkan kad merah kepada bintang Argentina itu.

Kad merah yang beliau terima itu merupakan yang pertama sepanjang kariernya bersama Barcelona dan peminat turut mengecam tindakan dari pemain berusia 33 tahun itu.

Barcelona dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Piala tersebut selepas Antoine Griezmann menjaringkan dua gol untuk mereka mendahului lawan 2-1.

Villalibre kemudiannya berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk Atletic Bilbao seterusnya mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Skuad kendalian Ronald Koeman dikejutkan dengan jaringan dari Inaki Williams pada minit ke-93 permainan dengan Bilbao terus bersemangat melancarkan beberapa siri serangan lagi ke kubu Barca selepas itu.

Perlawanan tamat, Barcelona tewas 3-2 kepada Atletic Bilbao dalam perlawanan akhir Spanish Super Cup ini dan mereka terus dilanda dengan kemarau kejuaraan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.