Lingard Pengaruhi Pemain West Ham Untuk Amalkan Gaya Keraian Yang Berbeza

Bintang baru West Ham, Jesse Lingard sememangnya terkenal sebagai seorang pemain yang gemar meraikan gol dengan pelbagai gaya.

Terbaru, beliau telah meraikan jaringannya ketika bertemu Tottenham Hotspur sebanyak dua kali sambil mempengaruhi rakan sepasukannya yang lain untuk meraikan jaringan tersebut mengikut gayanya.

Pemain yang dipinjamkan dari Manchester United itu sedang berada dalam rentak persembahan terbaiknya bersama West Ham.

Beliau menjadi watak penting dalam membantu the Hammers menewaskan skuad kendalian Jose Mourinho 2-1 di London Stadium malam semalam.

Lingard meraikan jaringan beliau dengan satu gelongsoran ke rumput disusuli dengan gaya menyilangkan kedua tangan membentuk tanda X

Namun kegembiraan beliau tidak bertahan lama selepas pengadil perlawanan menyemak semula VAR untuk mengesahkan jaringannya.

Sebaik pengadil perlawanan mengesahkan jaringan tersebut, pemain berusia 27 tahun itu sekali lagi meraikan jaringannya dan kali ini diraikan bersama rakan sepasukannya yang lain.

Lingard kemudian menyambung keraiannya dengan tarian yang menjadi darah daging dan bakat terpendamnya selain bola sepak bersama rakan sepasukan.

Jarang pemain West Ham meraikan jaringan dengan cara seperti ini dan jelas selain menyumbang aksi mantap di atas padang, Lingard turut membawa budaya baru ke London bersamanya.

Jaringan tersebut merupakan gol ketiga Lingard dari empat penampilannya bersama West Ham United di bawah kendalian David Moyes.

Ketika aksi debutnya bertemu Aston Villa, Jesse Lingard berjaya menjaringkan gol dan turut meraikan jaringannya dengan tarian indah dan mempesonakan.

Jadi bukan hal yang aneh ketika melihat Lingard meraikan jaringan dengan cara seperti itu.

Pengurus West Ham United, Moyes turut berbangga dengan persembahan Lingard setakat ini dan turut memuji sumbangan yang diberikan oleh pemain kebangsaan England itu kepada skuadnya.

“Pertama dan terpenting sekali, karakter dan sikap dia dalam perlawanan ini sangat bagus dan mungkin dia hanya perlu tambah sedikit sahaja lagi untuk buktikan siapa dia yang sebenarnya.”

“Dia sentiasa ada tenaga yang luar biasa dan kerja keras dia di atas padang juga sangat bagus. Benda ini memang selalu saya ingat.”

“Dia berjaya menjaringkan beberapa gol yang cantik untuk Manchester United, dia berjaya diserap ke skuad Piala Dunia England, dia ada karier yang bagus dan perjalanan dia masih panjang.”

“Dia masih berpeluang untuk tunjukkan apa dia ada dan siapa diri dia yang sebenarnya.”

“Jesse turut memberi aura baru kepada para pemain yang lain. Ketika kamu berusaha untuk memperbaiki kelab, skuad memerlukan seorang pemain seperti dia untuk masuk dan membantu kelab.”

“Saya percaya dia sudah berjaya buktikan semua itu selepas tiga perlawanan setakat ini.”

Lingard dan rakan sepasukannya yang lain akan kembali beraksi hujung minggu hadapan bertemu Manchester City di Etihad.

Mungkinkah beliau akan sekali lagi bersinar dalam perlawanan tersebut? Tiada yang mustahil selepas melihat segala sumbangan beliau setakat ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.