Lingard Masuk Senarai ‘Transfer List’ Manchester United

Jesse Lingard kini berada di dalam senarai pemain untuk dijual oleh Manchester United.

Laporan oleh The Guardian pada hari ini berkata kelab yang berpengkalan di Old Trafford itu kini bersedia untuk mendengar sebarang bidaan dari mana-mana kelab yang berminat untuk khidmat pemain itu.

Lingard semakin hilang tempat dalam skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer pada musim ini dengan pemain muda seperti Mason Greenwood turut menampilkan peningkatan ketara.

Hakikat bahawa Solksjaer turut berminat untuk mendapatkan khidmat Jadon Sancho daripada Borussia Dortmund juga bermakna situasi terkini akan lebih menyukarkan pemain itu untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Solksjaer adalah jurulatih yang sering kagum akan Lingard. Malah pengurus dari Norway itu pernah melatih pemain tersebut ketika bergelar jurulatih skuad remaja Manchester United.

Namun demikian Solskjaer kini menerima hakikat kihidmay pemain berusia 27 tahun itu semakin tidak diperlukan.

Kontrak Lingard akan tamat pada musim panas 2021. Walaupun United memiliki pilihan untuk menyambung kontrak pemain itu selama setahun lagi, Solksjaer terbuka untuk melepaskan pemain itu sekiranya terdapat bidaan yang munasabah diterima.

Laporan oleh The Times sebelum ini berkata Roma, Borussia Monchengladbach, Newcastle United dan Leicester City adalah antara kelab yang telah menunjukkan minat terhadap pemain tersebut.

Lingard telah menjaringkan gol dalam dua penampilan terakhir beliau bersama Manchester United.

Selepas menjaringkan gol untuk memberikan kemenangan 2-0 ke atas Leicester City – mengesahkan slot Manchester United ke Champions League – beliau turut menjaringkan gol penyamaan di perlawanan Europa League ketika menang 2-1 ke atas LASK.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.