Lima Bukti Kemuliaan Hati Ozil Yang Sungguh Mengagumkan

Mesut Ozil mendapat pujian melambung dari kalangan peminat selepas beliau menawarkan diri untuk membayar gaji Jerry Quy.

Jerry Quy merupakan seorang lelaki yang sering memakai pakaian maskot Arsenal yang juga dikenali sebagai Gunnersaurus.

Sebagai langkah untuk mengurangkan kos operasi pasukan, Arsenal telah melepaskan Quy dari jawatannya sebagai Gunnersaurus.

Jerry Quy telah memegang watak Gunnersaurus itu sejak 27 tahun yang lalu dan pastinya sedih untuk melihat beliau diberhentikan hanya kerana pihak kelab mahu menjimatkan kos.

Berita tentang penamatan kontrak maskot legenda Arsenal itu tersebar dan ianya membuatkan para penyokong serta para pemain sendiri berasa sangat kecewa.

Menerusi satu siaran langsung di Sky Sports, Paul Merson menganggap tindakan pengurusan Arsenal itu sungguh mengecewakan.

Sebelum ini juga pihak pengurusan Arsenal telah mengumumkan bahawa mereka akan membuang ramai pekerja bagi mengurangkan kos perbelanjaan kelab.

Ironinya, dalam pada mahu menjimatkan perbelanjaan kelab, Arsenal masih lagi berbelanja besar untuk mendapatkan para pemain baru.

Dek kerana itu lah para penyokong Arsenal berasa sangat marah dengan tindakan mereka, dan lebih mengecewakan lagi, sampai ke maskot kelab turut menjadi mangsa kepada penjimatan yang mahu dilakukan oleh kepimpinan Gunners.

Mesut Ozil memberikan kegembiraan kepada kesemua peminat dengan menawarkan dirinya untuk menanggung kos gaji sepenuhnya Quy supaya maskot itu kekal bersama kelab.

“Saya berasa sangat sedih apabila mendengar bahawa Jerry Quy atau maskot terkenal Gunnersaurus, akan diberhentikan kerja selepas 27 tahun berbakti bersama kelab.”

Tulis Ozil di akaun media sosial miliknya.

“Oleh itu, saya menawarkan untuk membayar balik Arsenal dengan membiayai sepenuhnya gaji Jerry Quy, selagi mana saya masih seorang pemain Arsenal. Hal ini supaya beliau dapat meneruskan pekerjaan yang sangat dia cintai ini.”

Ianya salah satu tindakan terpuji yang dipamerkan oleh Mesut Ozil dan ini bukan kali pertama beliau menunjukkan sisi baik hatinya kepada masyarakat.

Berikut merupakan antara lima amal kebajikan yang pernah dibuat oleh Ozil selama ini. Dan sebenarnya masih banyak sisi baiknya yang tidak diketahui oleh masyarakat.

1) Menyumbang lebih dari £80,000 untuk bekalan bantuan pada bulan puasa.

Pada bulan Mei, Football.london mendedahkan bahawa Ozil menyumbangkan £81,333 untuk kempen Bulan Sabit Merah Turki.

Bantuan tersebut adalah untuk memastikan persatuan tersebut mampu untuk menyediakan iftar yang cukup kepada kira-kira 16,000 orang di Turki dan Syria.

2) Menanggung Dana Pembedahan 1,000 kanak-kanak yang memerlukan

Menjelang perkahwinannya pada bulan Jun 2019 yang lalu, Ozil dan pasangannya Amine telah membayar rawatan untuk 1,000 kanak-kanak yang memerlukan.

“Ramai peminat, saudara mara dan rakan-rakan telah bertanya kepada saya mengenai nazar kami untuk perkahwinan esok. Sebagai pemain bola sepak profesional, saya berada dalam kedudukan yang agak beruntung dan istimewa.”

Tulis Ozil di twitter.

“Namun saya mengundang semua orang yang bersedia dan dapat membantu untuk menyokong projek yang sangat istimewa di hati kami berdua dan akan dilaksanakan dengan BigShoe.”

“Saya dan Amine akan menanggung perbelanjaan untuk pembedahan 1000 kanak-kanak yang memerlukan. Saya akan merasa gembira jika banyak lagi rawatan di seluruh dunia ini dapat kami tanggung.”

Ozil bekerjasama dengan BigShoe dalam projek ini, yang mana sebuah badan amal yang memberikan perkhidmatan pembedahan mengikut keperluan yang mengubah anak-anak di seluruh dunia.

3) Menyumbangkan hadiah kemenangan Piala Dunia untuk membayar pembedahan kanak-kanak

Setiap anggota dari skuad Piala Dunia Jerman 2014 menerima £240,000 selepas mereka menewaskan Argentina di Maracana.

Ozil menggunakan wang ganjaran yang beliau terima itu sepenuhnya untuk membayar pembedahan untuk 23 kanak-kanak yang kritikal di Brazil.

Bekas pemain midfield Real Madrid itu sebenarnya sudah bersetuju untuk menanggung kos rawatan untuk 11 kanak-kanak tersebut sejak sebelum bermulanya kejohanan lagi.

Selepas sah bergelar Juara, beliau menambah dari 11 kanak-kanak kepada 23 kanak-kanak yang sedang menderita sakit kritikal di Brazil.

“Ini adalah ucapan terima kasih peribadi saya atas keramahan orang-orang Brazil.”

Tulisnya di Facebook.

4) Menghubungi peminat Arsenal yang membuat ucapan perkahwinan mengenai dirinya

Salah seorang peminat Arsenal menjadi tular beberapa tahun lalu selepas menyelitkan nama Ozil dalam ucapan di hari perkahwinannya.

Setelah menyebut bait-bait tentang isterinya, peminat itu kemudian meluahkan isi hatinya tentang idola beliau dengan penuh emosi.

Ozil kemudian menghubungi pasangan pengantin baru itu menerusi Twitter lalu mengajak mereka untuk menonton perlawanan Arsenal.

5) Menghantar baju yang memiliki tanda tangan beliau kepada kanak kanak Kenya yang memakai baju buatan tangan ‘Ozil’

Tidak kira sama ada baju ori atau tidak, hal ini kerana setiap manusia memiliki keperluan yang berlainan dan juga status ekonomi berbeza.

Pada tahun 2018 yang lalu, seorang kanak-kanak lelaki bernama Lawrence menjadi perhatian ramai selepas gambar beliau memakai jersi buatan tangan dengan meletakkan nama Ozil dibelakang badannya tular.

Ozil mendapat tahu tentang kejadian itu lalu dengan segera beliau mengirimkan Lawrence dan adiknya jersi Arsenal dengan namanya di belakang.

Apa yang Ozil lihat hanyalah seorang kanak-kanak yang menunjukkan rasa cintanya kepada Arsenal dan Ozil sendiri dengan memakai baju buatan sendiri bertulis nama idolanya.

Banyak lagi sebenarnya kebaikkan yang pernah dilakukan oleh Ozil dan tidak mampu untuk disenaraikan satu persatu.

Dan senarai ini hanyalah dari beberapa kebaikkan yang telah beliau lakukan kepada masyarakat dan menunjukkan bertapa rendah dirinya seorang bintang handalan bernama Mesut Ozil.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.