Lihat Trent Alexander-Arnold Ayamkan Harry Maguire Dalam Sesi Latihan England

Sejak menyertai Manchester United, Harry Maguire boleh dikatakan berjaya menambah baik bahagian pertahanan pasukan barunya itu.

Namun demikian beberapa bulan yang lalu jelas tempoh yang sukar buat kapten Setan Merah ini.

Isu ditahan polis di kepulauan Greece kerana pergaduhan di sebuah bar, diikuti prestasi beliau bersama skuad Setan Merah sehingga menjurus kepada kekalahan memalukan 6-1 kepada Tottenham Hotspur pasti sesuatu yang mahu dilupakan oleh bekas pemain Leicester City ini.

Tempoh kalendar antarabangsa yang diharapkan mampu memadam luka lama bagaimanapun terpartut lagi.

Secara teknikal Maguire tidak melakukan kesilapan dalam perlawanan seperti mana yang dilakukan bersama Manchester United dan sering dianggap komikal.

Namun sesi latihan skuad England menjelang perlawanan menentang Belgium semalam pasti membuatkan ramai penyokong England dan Manchester United risau setelah satu video yang tular menunjukkan bagaimana Trent Alexander-Arnold dengan mudah melepasi kawalan Maguire.

Video di atas menunjukkan bagaimana Maguire beberapa kali cuba merampas bola dari pemain bek kanan Liverpool itu, namun terlalu lambat untuk dipersendakan oleh Alexander-Arnold.

Dan dalam perlawnanan menentang Belgium pada pagi tadi Romelu Lukaku telah membuka jaringan perlawanan secara sah melalui sepakan penalti selepas Eric Dier telah melakukan satu terjahan ke atas pemain penyerang Inter Milan itu.

Mujurlah bukan Maguire yang menjatuhkan Lukaku. Kalau tidak, pasti Maguire tidak akan tidue lena kerana menerima kecaman dan sendaan yang sedia menanti.

Lukaku tidak mempersia-siakan peluang meletakkan bola ke gawang melalui satu sepakan deras selepas tergedik-gedik agak lama.

Kemudian Thomas Meunier telah menarik ketua pasukan England, Jordan Henderson dari belakang ketika sepakan penjuru nyata mengundang padah apabila pengadil sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti dalam perlawanan ini.

Penerima anugerah MBE, Marcus Rashford tiada masalah untuk menyamakan kedudukan dan menjari nadi kebangkitan England.

Selepas itu pemain kesayangan Frank Lampard, Mason Mount menjaringkan gol kemenangan England melalui satu percubaan yang menggelembung buaya yang sungguh cantik.

Rembatan Mason Mount telah terbias sedikit kaki pemain Belgium tetapi itu sangat membantu untuk bola cantik masuk ke penjuru gawang.

England terus cemerlang gemilang dan terbilang apabila telah memenangi 20 perlawanan daripada 21 perlawanan kompetitif mereka dengan satu kekalahan.

Lebih meyakinkan persembahan England ini apabila mencatatkan 67 gol dan hanya 10 bolos.

Maguire sendiri menghasilkan 78 hantaran lengkap berbanding 81 yang beliau cuba lakukan untuk menjadi pemain England paling tepat hantaran dalam perlawanan ini. Tajam. Tapi tiada siapa peduli asalkan Maguire tidak buat lawak komikal atas padang.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.