Lihat Teknik Sepakan Percuma Luar Biasa Beckham Dan Giggs

David Beckham dan Ryan Giggs merupakan pakar dalam set-pieces ketika karier mereka berdua bersama setan merah.

Tetapi mungkin ramai tidak sedar dan mungkin terlupa bahawa kedua-dua mereka pernah mengambil sepakan percuma bersama-sama satu ketika dahulu.

Beckham dan Giggs berdua mengambil sepakan percuma dalam waktu yang sama secara serentak.

Perkara itu berlaku ketika setan merah bertemu Aston Villa pada Ogos 2001 dan perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

Beckham dan Giggs ketika itu mencuba satu aksi yang sangat menarik dan keputusan mereka untuk mengambil sepakan percuma secara serentak itu sungguh menakjubkan.

Dua atau beberapa orang pemain berada di hadapan bola sebelum sepakan percuma itu sememangnya perkara biasa.

Hanya seorang dari mereka akan menendang bola dan yang lain hanya akan mengacah atau sekadar untuk mengelirukan lawan sahaja.

Tetapi apa yang dilakukan oleh Beckham dan Giggs adalah, mereka berdua berdiri di hadapan bola dan menendang bola pada waktu yang sama secara serentak.

Salah satu cara sepakan percuma yang paling unik pernah terjadi dalam sejarah bola sepak dunia.

Teknik yang mereka berdua lakukan hampir saja mengelirukan bekas penjaga gawang United, Peter Schmeichel yang ketika itu menjadi penjaga gol Aston Villa.

Schmeichel hampir saja tertewas dengan gerakan mengelirukan itu namun mujur saja beliau sempat menolak bola keluar sebelum dirinya dikasari oleh Roy Keane dari belakang.

Salah satu teknik kreatif yang mungkin boleh menghasilkan jaringan luar biasa dan dikenang sepanjang zaman dilakukan oleh Beckham dan Giggs.

Sebaliknya ada gandingan yang mencuba untuk melakukan teknik sepakan percuma luar biasa tetapi berakhir dengan sungguh menduka citakan.

Granit Xhaka dan Stephan Lichtsteiner telah mengambil sepakan percuma dengan teknik yang sungguh hambar dan membinasakan pada Oktober lalu.

Ketika beraksi untuk pasukan kebangsaan Switzerland, Xhaka dan bekas pertahanan Arsenal, Lichtsteiner diberi tanggungjawab untuk mengambil sepakan percuma.

Sebenarnya jarak dan kedudukan bola agak baik untuk mereka terus menghantar bola ke dalam kotak penalti lawan.

Tetapi kedua-dua mereka mahu mencuba untuk melakukan sesuatu yang luar biasa dan teknik yang berbeza dari sepakan percuma tersebut.

Perancangan mereka sudah bijak untuk berlari bergilir-gilir melintasi bola untuk mengelirukan benteng lawan, tetapi pelaksanaannya memang sungguh mengecewakan.

Kedua-dua mereka berlari dan masing-masing keliru siapa yang akan menendang bola lalu kesudahannya benteng lawan yang sepatutnya keliru dengan gerakan itu bertukar menjadi terhibur dengan gerakan dungu mereka berdua.