Lihat Sterling Persia Peluang Sebelum City ‘Gone In 59 Seconds’

Sukar untuk membayangkan pemain dengan kaliber seperti Raheem Sterling merembat liar dan tinggi dari jarak 5 meter ketika gawang gol sudah pun terbuka luas.

Namun hakikatnya itulah yang berlaku ketika City berhadapan dengan Lyon dalam perlawanan peringkat suku akhir pada awal pagi tadi.

Sterling telah menjaringkan 31 gol dalam semua pertandingan pada musim ini, tetap terlepas peluang keeemasan untuk menyelamatkan City pada ketika kedudukan 2-1.

Dan pada ketika City amat memerlukan jaringan, mereka terus dihukum 59 saat kemudian apabila Ederson gagal menangkap kemas percubaan mudah Houssem Aouar, untuk membenarkan Dembele menyingkirkan terus skuad Guardiola dari pertandingan elit ini.

Tewas 3-1 dalam perlawanan ini, nasib City mungkin berbeza sekiranya Sterling memanfaatkan peluangnya, sebelum Lyon menjaringkan gol ketika seraya selepas itu.

Skuad Citizen mencipta peluag dan gerakan tersebut dengan baik sekali melalui larian Gabriel Jesus sebelum pemain Brazil itu melakukan hantaran lintang kepada Sterling.

Pemain antarabangsa England itu hanya perlu menolak mudah bola ke dalam gawang, sebaliknya memilih untuk menyepak deras sehingga menyebabkan bola melambung melewati palang gol.

Benar, Sterling sendiri sukar untuk mempercayai bagaimana dirinya terlepas peluang tersebut, dan Guardiola menekup kepalanya dengan tangan.

Lebih memedihkan, gol ketiga Moussa Dembele pantas menamatkan saingan selepas itu.

Keputusan Man City adalah kejutan kedua dalam pertandingan ini dalam tempoh beberapa hari setelah Barcelona dibelasah 8-2 oleh Bayern Munich sehari sebelumnya.

Kekalahan tersebut adalah satu lagi kekecewaan buat Guardiola dan City yang turut gagal mencabar Liverpool di saingan liga pada musim ini.

Lyon akan berhadapan dengan Bayern Munich di separuh akhir pada pagi Khamis, manakala PSG dan RB Leipzig akan beraksi lebih awal pada pagi Rabu waktu Malaysia.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.