Lihat Reaksi Bruno Fernandes Selepas Diumumkan Kapten Oleh Solksjaer Di Hadapan Media

Manchester United akan kembali ke saingan UEFA Champions League pada awal pagi esok.

Pasukan dengan jolokan nama The Red Devils itu akan berhadapan dengan Paris Saint-Germain (PSG) di Parc des Princes – perlawanan yang dianggap besar dan sukar untuk United.

Dan skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer juga akan beraksi tanpa tongak pertahanan dan kapten pasukan Harry Maguire dalam perlawanan ini.

Pemain pertahanan England itu yang turut menjaringkan gol ketika United menewaskan Newcastle United 1-4 pada hujung minggu lalu tidak berada di dalam senarai skuad yang berkunjung ke Paris.

Tanpa Maguire, Solksjaer telah mengesahkan Bruno Fernandes akan memakai lilitan kapten untuk perlawanan menentang PSG.

“Kapten sedang duduk di sebelah saya. Bruno akan menjadi kapten pasukan esok,” ujar Solksjaer ketika menjawab soalan wartawan dalam sidang media.

“Sejak tiba menyertai kami Bruno telah memberikan impak positif yang amat baik kepada pasukan. Statistik membuktikannya dan prestasinya sentiasa mendapat pujian.

“Sejak tiba beliau telah mengubah pasukan atau kadang kala menampilkan sesuatu di dalam pasukan dan saya berharap kami juga berjaya membawa sesuatu terhadap kariernya.

“Ia adalah detik penting untuk prestasi kami pada musim lalu, dan kami mengharapkan lebih banyak perkara sama berlaku pada musim ini.”

Keputusan untuk menjadikan dirinya sebagai kapten adalah satu kejutan buat Fernandes yang tidak dimaklumkan sebelum sidang media tersebut.

Reaksi beliau telah dirakam secara candid dan menunjukkan rasa kekaguman ketika Solksjaer mengumumkannya.

Beliau kemudiannya mengakui tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu.

“Saya tidak menjangkakan [pengumuman] ini. Seperti anda, saya juga baru mengetahuinya!

“Ia adalah satu penghormatan dan pencapaian yang penting untuk saya. Menjadi seorang kapten – setiap orang perlu memberikan kerjasama dengan menjadi seorang pemimpin di atas padang dengan cara mereka tersendiri.

“Saya berpendapat saya telah beraksi dengan baik pada beberapa bulan lalu, tetapi sudah tentu harus memperbaiki dan melakukannya dengan lebih baik lagi dari apa yang telah ditampilkan.

“Saya tahu statistik saya agak baik, tetapi saya harus menghasilkan statistik yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya.”

Penyokong Manchester United sudah lama mahukan Bruno Fernandes diberikan peranan sebagai kapten.

Akhirnya mereka memperolehi apa yang mereka hajati. Lilitan kapten tersebut bagaimana pun hanya sementara sahaja sebelum ianya dipulangkan kepada Maguire.

Namun demikian, memberikan lilitan kepada Fernandes memberi indikasi betapa tinggi Solksjaer memandang pemain tengah ini.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.