Lihat Penjaga Gol Jaringkan Gol Minit Ke-95 Sebelum Dibolosi Dari Sepak Mula

Siapa kata posisi penjaga gol itu adalah posisi yang mudah sebenarnya tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak. Tanyalah kepada Karius, Adrian. David de Gea mahu pun Alisson Becker, mereka pasti mempunyai pengalaman masing-masing untuk dikongsi.

Pada satu saat, anda boleh dijulang selaku wira. Dan sekelip mata selepas itu anda boleh jadi kambing hitam disalahkan kerana pasukan tewas atau pun kehilangan mata.

Itulah nasib penjaga gol. Dah lah aksi mereka terbatas di dalam kawasan kotak penalti. Tugas seorang penjaga gol adakalanya sunyi dan tidak popular seperti pemain di posisi lain.

Demikianlah perkara yang terjadi kepada seorang penjaga gol dari Sepanyol yang bernama Carlos Aguayo Torres. Beliau adalah seorang penjaga gol untuk pasukan Vinaros CF yang beraksi di divisyen ke-6 bola sepak Sepanyol.

Apabila berpeluang untuk mara ke hadapan dan kemudiannya menjaringkan gol untuk mengikat pasukan lawan, Peniscola, ia pantas disambar oleh Torres.

Namun nasib Torres dilihat seperti hero yang bertukar menjadi zero dalam perlawanan derbi setempat itu.

Ketinggalan 1-0 pada minit akhir perlawanan, Torres mara ke hadapan membantu jentera serangan untuk memburu gol penyamaan apabila pasukannya memperolehi sepakan percuma.

Nasib menyebelahi Torres apabila secara tiba-tiba mempunyai ruang untuk melepaskan satu voli yang menewaskan penjaga gol lawan untuk mengikat kedudukan kepada 1-1.

Gol tersebut disambut dengan meriah oleh penyokong Vinaros, dan juga Torres yang seakan-akan tidak percaya mampu menghasilkan gol sedemikian.

Pemain Peniscola pula kecewa dengan beberapa pemain mereka dilihat seperti berputus asa. Namun demikian, gol oleh Torres tersebut sebenarnya hanya permulaan kepada kemuncak perlawanan ini.

Tatkala pemain Vinaros mulai beransur kembali ke bahagian padang mereka, kamera pula asyik memberikan fokus kepada Torres yang masih kegembiraan dengan gol jaringannya yang berjaya mengikat kedudukan.

Penjaga gol itu kelihatan melihat ke arah langit tanda kesyukuran sambil mengundur ke arah gawang yang sepatutnya beliau kawal.

Pada saat ini kejutan itu tiba. Sebaik sahaja wisel ditiup untuk memulakan perlawanan kembali, pemain Peniscola terus melambungkan bola dari sepak mula menuju terus ke arah gawang Vinaros.

Torres dapat melihat bola itu melayang ke arah gawangnya, namun tidak banyak yang boleh dilakukannya untuk menyelamatkan bola lambung itu untuk membocori gawangnya.

blank

Gol tersebut kembali memberi kelebihan kepada Peniscola dan juga bermakna Vinaros tewas hanya sesaat selepas menyamakan kedudukan.

“Saya tidak percaya, saya tidak percaya apa yang saya lihat,” kata seorang penyokong wanita dalam rakaman tersebut, tatkala giliran pemain dan pegawai Peniscola pula meraikan kejayaan mereka.

Manakala untuk Torres, beliau terus tertiarap dengan muka menyembah bumi menghadap gawang sendiri. Mungkin masih memikirkan apa sebenarnya yang telah berlaku dalam tempoh beberapa saat itu.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.