Lihat Kompilasi Gol Oleh UCL Sebagai Tribute Dan Sempena Hari Jadi Mesut Ozil

Pertandingan bola sepak paling elit di kalangan kelab-kelab Eropah, UEFA Champions League telah menyediakan kompilasi jaringan terbaik yang pernah dihasilkan pemain tersebut di pertandingan itu.

Salah satu daripadanya adalah jaringan ketika menentang Ludogorets di pertandigan tersebut pada 2016.

Gol tersebut adalah adunan larian yang cukup sempurna, bersama sentuhan genius yang cukup tenang di hadapan gol.

Teknik yang digunakan oleh Ozil untuk memastikan bola melambung di atas penjaga gol, diikuti dua dummy terhadap dua pemain pertahanan lawan sudah pasti terpahat sebagai salah satu jaringan terhebat The Gunners di peringkat eropah.

Masa depan Ozil kini bagaimana pun sudah dianggap berakhir selepas namanya tidak berada di dalam senarai skuad kendalian Mikel Arteta untuk ke Eropah.

Sebelum bermulanya pandemik, Mesut Ozil beraksi dalam hampir setiap perlawanan kendalian Mikel Arteta. Segalanya berubah setelah musim yang ditangguhkan bersambung kembali.

Pemain tengah dari Jerman itu langsung tidak beraksi walaupun sebagai pemain gantian dalam mana-mana perlawanan – walaupun jadual saingan yang disambung menjadi padat, dan membenarkan sehingga 5 pertukaran pemain.

Dan apabila seorang pemain yang beraksi hampir setiap perlawanan sebelum itu tiba-tiba kini langsung tidak berada di dalam skuad utama, ia seperti sesuatu telah berlaku di antara pemain tersebut dan pengurus yang bertanggungjawab mengendalikan pasukan.

Di dalam pasukan Arsenal sendiri, Ozil juga dilihat sebagai watak penuh kontroversi.

Tetapi bagi kebanyakkan penyokong dan komuniti bola sepak, Ozil juga dilihat sebagai seorang pemain yang berhati mulia.

Pada bulan Mei lalu misalnya, Football.london mendedahkan bahawa Ozil menyumbangkan £81,333 untuk kempen Bulan Sabit Merah Turki.

Bantuan tersebut adalah untuk memastikan persatuan tersebut mampu untuk menyediakan iftar yang cukup kepada kira-kira 16,000 orang di Turki dan Syria.

Bukan itu sahaja. Menjelang perkahwinannya pada bulan Jun 2019 yang lalu, Ozil dan pasangannya Amine telah membayar rawatan untuk 1,000 kanak-kanak yang memerlukan.

Dan tahukah anda apabila setiap anggota dari skuad Piala Dunia Jerman 2014 menerima £240,000 selepas mereka menewaskan Argentina di Maracana.

Ozil menggunakan wang ganjaran yang beliau terima itu sepenuhnya untuk membayar pembedahan untuk 23 kanak-kanak yang kritikal di Brazil.

Pada tahun 2018 yang pula, seorang kanak-kanak lelaki bernama Lawrence menjadi perhatian ramai selepas gambar beliau memakai jersi buatan tangan dengan meletakkan nama Ozil dibelakang badannya tular.

Ozil mendapat tahu tentang kejadian itu lalu dengan segera beliau mengirimkan Lawrence dan adiknya jersi Arsenal dengan namanya di belakang.

Hari ini bekas pemain antarabangsa Jerman ini genap berusia 32 tahun. Harapan kita sudah pasti agar suatu hari nanti Ozil mampu mengembalikan zaman kegemilangannya.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.