Lihat Ketangkasan Petr Cech Dalam Latihan Bersama Chelsea

Petr Cech membuktikan dirinya layak berada di dalam skuad Chelsea pada musim ini setelah menampilkan aksi terpuji di dalam latihan skuad utama The Blues.

Walaupun pernah mengumumkan persaraan sebagai pemain pada 2019, dan kini berusia 38 tahun, nama Petr Cech disertakan di dalam pendaftaran pasukan untuk saingan Premier League pada musim ini.

Tujuan utamanya ialah supaya Cech boleh menjadi pemain yang akan diturunkan terus ke dalam kesebelasan utama sekiranya belaku kecemasan di dalam skuad Frank Lampard.

Video Cech di dalam latihan buat kali pertama sejak bersara telah menjadi tular dan beliau kelihatan tajam dan tangkas seperti kebiasaan.

Menjelang perlawanan menentang Manchester United pada Sabtu ini, bekas penjaga gol antarabangsa Republik Cezh itu tidak ketinggalan diasah ketangkasannya di hadapan gawang, dan berjaya menangkis beberapa percubaan.

Cech yang pernah menyarung jersi Arsenal sebelum ini telah berjaya membuatkan ramai pemain dan kakitangan kejurultaihan di Chelsea kagum ketika latihan.

Bercakap kepada media selepas Chelsea seri dengan Sevilla di pertandingan Champions League pada pertengahan minggu ini, Lampard menganggap ianya satu kelebihan untuk memiliki Cech di dalam skuad sedia ada untuk berhadapan dengan musim yang disifatkan unik oleh beliau.

“Jelas sekali ia bukan untuk tujuan yang romantik,” kata Lampard.

“Pete telah berlatih bersama penjaga gol yang lain buat seketika. Beliau amat cergas dan sebenarnya masih muda. Pete berhenti bermain pada ketika beliau masih mampu beraksi dan memainkan peranan di belakang tabir di Chelsea, yang beliau lakukan dengan baik sekali.

blank

“Kami masih mempunyai ruang di dalam skuad pada tahun ini dan juga dsebabkan penularan wabak yang berlaku kita tidak tahu apa yang berlaku kepada pemilihan pemain disebabkan kuarantin.

“Jadi ia adalah pilihan yang mudah. Pete masih lagi melakukan kerja hakikinya, dan jika kami memerlukannya maka dia juga ada di sini.

“Sama ada kita akan melihat beliau beraksi atau tidak saya tidak pasti. Ia bergantung bagaimana musim ini akan berjalan dengan penularan wabak dan kuarantin.

“Jika tidak disebabkan perkara itu sekali pun, kehadiran Pete masih mampu membantu penjaga gol sedia ada. Beliau adalah salah seorang penjaga gol terbaik dunia pada eranya.

“Jika kami berada di dalam situasi krisis, tiada ada perkara lain yang lebih baik selain daripada adanya Peter Cech.

“Saya tidak menjangkakannya. Tetapi tiada siapa yang boleh menjangkakan apa yang berlaku di sekelling dunia untuk enam atau tujuh bulan lalu.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.