Pelumba basikal, Remco Evenepoel terlibat dengan kemalangan dan jatuh 30 kaki dari sebuah jambatan yang dilalui sebelum terhumban ke sebuah anak sungai.
Insiden kemalangan berlaku tatkala perlumbaan II Lamboardia di Itali ini memasuki jarak 50 km terakhir.
Paramedik segera dikejarkan ke tempat kejadian sebelum penunggang tersebut dibawa ke hospital.
Gambar yang tersebar menunjukkan pelumba tersebut berada di dalam keadaan sedar namun kelihatan parah. Evenepoel perlu dipasang alat sokongan leher sebelum diangkat masuk ke dalam sebuah ambulan.
Akaun Twitter rasmi pasukan yang diwakili oleh Evenepoel, Deceuninck-Quick Step keluar dengan kenyataan untuk berkongsi kondisi pemain tersebut.
“Beliau kini berada di Hospital Como, dan berada di dalam keadaan sedar. Keadaan kesihatan beliau akan dinilai oleh pasukan perubatan. Kami berharap akan mendapat lebih banyak perkhabaran sebentar nanti.
Akaun Twitter yang sama sebelum itu turut melakukan ciapan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan keadaan Evenepoel.
Deceuninck-Quick Step turut meminta agar semua pihak bersabar dan jangan membuat sebarang spekulasi berkenaan keadaan pelumba mereka itu.
Pelumba berusia 20 tahun dari Belgium itu dianggap sebagai salah seorang prospek terbaik pelumba basikal jalan raya selepas memenangu perlumbaan Tour de Poland dan Volta a Burgos pada awal tahun ini.
Evenepoel sedang berada di kedudukan ke-4 ketika insiden kemalangan tersebut berlaku. Anda boleh menyaksikan rakaman kemalangan tersebut melalui perkongsian di Twitter seperti di bawah:
Crash in #Lombardia by @EvenepoelRemco (BEL) into the ravine#ILombardia #Lombardia pic.twitter.com/hGbIO6A77V
— NewsBlog | breaking (@NBbreaking) August 15, 2020
Jakob Fuglsang dari Astana adalah pemenang perlumbaan ini namun kemalangan membabitkan Evenepeol bukan satu-satunya insiden menakutkan yang berlaku dalam perlumbaan kali ini.
Pada babak akhir perlumbaan, pelumba Bora Hansgrohe, Max Schachmann telah dilanggar kereya yang memasuki jalan raya yang telah ditutup ketika mahu memasuki parkir.
Kemalangan membabitkan Evenepoel adalah yang kedua terbesar di dalam tempoh seminggu membabitkan pelumba Quick Step setelah rakan sepasukan Fabio Jakobsen dimasukkan ke hospital dan koma akibat kemalangan di Tour of Poland pada minggu lalu.